Kebanyakan restoran kari kepala ikan yang dimiliki oleh golongan mamak memasak mengikut resipi India.
Bagaimanapun jika anda teringin menikmati kari kepala ikan versi Pakistan, apa kata singgah di Ministry of Fish Head Curry (MOF) yang terletak di Glomac Damansara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.
Di sini, anda dapat memuaskan selera dengan keistimewaan kari kepala ikan Pakistan dalam suasana yang begitu tenang dan damai. Tiada kebisingan, hiasan dalaman yang menarik, serta layanan mesra.
Bertemu dengan pemilik MOF, Datin Belina Abdul Hamid, 30, dia berkata, nama Ministry of Fish Head Curry dipilih kerana mahu menggambarkan kehebatan hidangan di restoran itu sambil mengetengahkan hidangan kari kepala ikan Pakistan di persekitaran yang eksklusif.
Kata Belina, yang berketurunan Pakistan dan Melayu, kelazatan kari kepala ikan hasil resipi neneknya menjadi kebanggaan keluarga dan mahu dikongsi bersama dengan orang lain.
Berminat memasak pelbagai jenis masakan termasuk kari kepala ikan Pakistan, dia mendapat galakan daripada suami, Datuk Shamsudin Abu Hassan, seorang ahli perniagaan, untuk membuka restoran tersebut.
“Selama ini, apabila menyebut kari kepala ikan, orang akan mengaitkannya dengan restoran mamak dan India. Namun di sini, kari kepala ikan yang dinikmati adalah berbeza kerana saya menggunakan rempah-ratus yang saya beli sendiri dari Pakistan.
“Kuah untuk kari ini saya gunakan yogurt dan mengurangkan santan. Ini bagus untuk kesihatan terutama mereka yang berhati-hati terhadap pengambilan makanan berlemak. Selain itu, rempah kari bersifat panas dan yogurt dapat menyejukkannya. Rasa kari juga lebih sedap dan tidak mudah basi.
“Di mana-mana restoran pun tidak ada yang menggunakan yogurt kerana bahan tersebut agak mahal. Yogurt yang kami gunakan dibuat sendiri daripada susu lembu dan dibeli dari Pakistan.
“Selain itu, kari kepala ikan yang dihidangkan akan dituang di atasnya dengan krim segar bagi membangkitkan rasa kari yang lebih moden sesuai dengan masa kini.
“Hidangan yang disediakan di sini dimasak oleh ketua chef, Muhammad Raheel Jaabar yang kami bawa dari Pakistan,” kata Belina yang mempunyai tiga orang chef dan 10 orang pekerja.
Menurutnya, pelanggan boleh memilih tiga jenis kepala ikan yang mereka sukai, iaitu ikan merah, kerapu dan salmon.
Kari kepala ikan merah paling disukai oleh pelanggan, manakala kari kepala ikan salmon mempunyai rasa yang lebih lemak dan mempunyai kandungan omega yang bagus untuk kesihatan jantung.
Kesemua sajian kari tersebut dinikmati bersama nasi beras basmathi yang turut diimport dari Pakistan.
Tambahnya, bagi menjamin rasa kari kepala ikan yang segar, dia mendapatkan bekalan daripada pembekal pada setiap hari.
Ini kerana, rahsia bagi kari kepala ikan yang lazat terletak pada kepala ikan itu sendiri, selain rempah-ratus yang digunakan dan cara memasaknya.
Belina berkata, dia mensasarkan untuk menjual 100 biji kepala ikan sehari dan setiap satu dijual mengikut saiz. Bagi kari kepala ikan bersaiz S berharga RM98.80, saiz M (RM118.80) dan L (RM138.80).
Selain menjual kari kepala ikan, MOF turut menghidangkan ayam goreng kampung dan kari ayam kampung yang diternak sendiri di Kuang. Pelanggan juga boleh menikmati capati istimewa bercampur bayam.
Dibuka setiap hari bermula pukul lapan pagi hingga 11 malam, MOF turut menerima tempahan untuk majlis dan katering di restoran itu sendiri dan boleh juga dimasak di kawasan majlis.
Kepada yang ingin menikmati hidangan kari kepala ikan di sini atau ingin menempah katering, boleh menghubungi 03-77339656.