Keenakan dan kelazatan masakan-masakan ini bertambah memikat dengan gabungan sos-sos yang cukup menyelerakan seperti sos lada hitam, sos barbeku, dan sos cendawan.
Antara yang masih dianggap baharu, ialah Aura Western Food, yang terletak di No. 13, Jalan Rampai Maju 1, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.
Restoran ini dikendalikan oleh pasangan suami isteri, Nurul Hasfizah Hassan, 40, dan Tengku Amar Tuan Nasir, 42, dan tidak ketinggalan dua orang rakan kongsi yang merupakan chef di restoran tersebut.
Ketika ditemui baru-baru ini, jelas Nurul Hasfizah, restoran tersebut mula beroperasi pada 1 November tahun lalu.
Menawarkan lebih 50 menu, Nurul Hasfizah memberitahu, restorannya bukan 100 peratus berkonsepkan masakan Barat kerana turut menyelitkan menu-menu tempatan bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung, terutama mereka yang kurang menggemari masakan Barat.
“Kami sedar pengunjung yang datang ada pelbagai cita rasa. Malah dalam satu keluarga pun mereka menggemari makanan-makanan yang berbeza. Mungkin si bapa ingin makan makanan Barat, manakala emak dan anak mahukan hidangan tempatan.
“Disebabkan itu kami membuat keputusan untuk ‘menyelitkan’ menu-menu tempatan dalam usaha memberikan lebih pilihan kepada pengunjung,” ujarnya.
Beroperasi setiap hari dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam, Aura Western Food pastinya dapat memenuhi cita rasa semua kerana hidangan dimasak mengikut permintaan pelanggan.
Ini bermakna, pelanggan boleh meminta bagaimana daging atau ayam hendak dimasak seperti masak sepenuhnya atau separuh.
Antara menu yang ditawarkan di Aura Western Food ialah burger daging Jnr Carlos, Aust sizzling rib eye, sup cendawan, chicken chop keju, piza, mi hailam, dan nasi goreng Carlos.
Apa yang istimewanya di sini, sup cendawan serta sos-sos seperti sos lada hitam, sos cendawan, dan sos barbeku dimasak sendiri menggunakan resipi sendiri.
Menurut Nurul Hasfizah, pihaknya amat menitikberatkan soal kualiti dan kesemua bahan-bahan yang digunakan adalah bahan-bahan segar tidak kira bahan basah atau pun kering.
Pihaknya mengimport daging dari Australia dalam usaha mengekalkan keenakan rasa sebenar masakan Barat, selain hanya memasak makanan mengikut tempahan pelanggan.
“Di sini kami cukup menitik beratkan soal kualiti kerana kami sedar sekarang persaingan cukup sengit dan seboleh-bolehnya kami ingin membuat pengunjung mengunjungi lagi restoran kami pada masa akan datang.
“Pada masa yang sama kami sentiasa menilai kembali menu-menu yang disajikan dan akan turut mengambil perhatian segala komen yang diberikan pelanggan,” sambungnya lagi yang juga merupakan pegawai akaun syarikat.
Nurul Hasfizah berkata, dia dan suami dibantu seramai lapan orang pekerja di samping dua orang chef yang cukup berpengalaman.