Bagi mereka yang pertama kali datang ke Sarawak sudah tentu tidak sah kedatangan jika tidak mencuba makanan masyarakat tempatan di Bumi Kenyalang ini. Adalah ‘wajib’ bagi orang luar menikmati makanan tradisional Sarawak sepanjang berada di negeri ini.
Antara tempat makan yang boleh disinggahi bagi tujuan tersebut adalah Restoran Tribal Stove yang terletak di Kuching, Sarawak. Restoran itu menyajikan makanan tradisional masyarakat Kelabit atau Orang Ulu. Namun begitu, menu popular milik negeri Sarawak yang lain seperti umai, ayam pansuh iaitu ayam yang dimasak di dalam buluh turut ditawarkan kepada pelanggan.
Restoran ini juga masih mengekalkan cara dan masakan masyarakat Kelabit dengan hanya menggunakan garam bukit dalam kesemua masakan tanpa bahan perasa, monosodium glutamat (MSG).
Menurut pemiliknya, Esther Balan-Gala, restoran tersebut telah beroperasi kira-kira lima tahun lalu dan mendapat sambutan baik terutama daripada mereka yang mahu merasai keenakan masakan tradisional orang Sarawak.
Katanya, restoran itu boleh menampung lebih kurang 60 orang dalam satu-satu masa.
“Masakan yang disediakan hanya dimasak apabila diminta pelanggan. Jadi, proses penyediaannya akan mengambil masa sedikit. Cara ini dilakukan bagi memastikan kesegaran juadah yang diminta.
“Antara makanan yang menjadi pilihan ramai adalah Nubaq Layaq (nasi yang dilenyek) yang dimakan dengan sayuran dan Udung Ubih (daun ubi kayu) bersama A'beng (ikan tidak bertulang),” katanya.
Tambahnya, para pelanggan boleh memakannya dengan menggunakan tangan iaitu cara biasa masyarakat di sini menikmati makanan atau menggunakan sudu dan garfu.
“Kami juga menggunakan beras bario merah dan putih mengikut pilihan pelanggan. Masakan masyarakat Kelabit mengutamakan kesihatan, jadi kami banyak menggunakan sayur-sayuran. Justeru, menu ini boleh dimakan oleh golongan yang mengamalkan diet sayur yang ketat,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan set juadah dengan empat pilihan utama iaitu Labo Senutuq (serunding daging), A'beng (ikan tidak berulang), Labo La'al Senutung (ayam dalam buluh) dan Kari Buaq Kabar bersama sup, pilihan nasi stim beras bario merah atau putih atau Nubaq Layaq yang mengandungi dua jenis masakan sayur serta air teh kayu manis lemon (sejuk/panas).
“Selain itu, kami juga menerima tempahan bagi bufet dan majlis keramaian dengan caj RM25 seorang termasuk pencuci mulut,” katanya.
Sementara itu, Esther memberitahu, pada tahun ini mereka ‘dikejutkan’ dengan pengiktirafan yang diterima daripada laman pelancongan, TripAdvisor.
“Kami tidak mengetahui pun bahawa restoran ini telah dinilai dan menjadi topik perbualan pelancong asing.
Mengakhiri pertemuan, Esther memberitahu, beliau juga ada merancang untuk menjadikan francais restoran ini pada masa hadapan, namun perlu menumpukan kepada juadah yang popular.
“Saya mahu memastikan bahan-bahan mentah bagi masakan tradisional ini dapat disediakan di tempat lain kerana ada sesetengah bahan mentah adalah bermusim,” katanya.
No comments:
Post a Comment