BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, November 2, 2012

KUETIAU BAKAR UK PERDANA


Kuetiau dimasak pada kuali leper yang diletak di atas bara arang.

MASAKAN ini bukanlah satu menu baru dalam sajian harian, tetapi apa yang menjadikannya satu hidangan menarik untuk dicuba adalah cara memasaknya.
Masih lagi menggunakan bahan mentah utama yang sama dan begitu juga pelbagai bahan perasa dan juga bahan sampingan yang lain, keunikan KL Kuetiau Bakar UK Perdana sememangnya terletak pada cara ia dimasak.
Tidak menggunakan minyak mahupun kuali seperti lazimnya untuk menggoreng kuetiau, kali ini dimasak di atas kuali leper dengan api yang dihasilkan daripada arang.
Hidangan ini sememangnya istimewa kerana bukan sahaja merupakan sajian sihat malah menyuntik cita rasa baru terutama kepada golongan yang mengamalkan diet.
Pengusaha menu tersebut, Mohd. Fadli Mohd. Halim, 30, memberitahu, menu tersebut dihasilkan setelah melihat burger bakar mendapat sambutan yang begitu menggalakkan di kalangan peminat- peminat makanan.
Ini secara tidak langsung memberikannya idea untuk menghasilkan kuetiau yang dimasak dengan cara bakar.
Walaupun baru bermula awal bulan lalu, Mohd. Fadli menjelaskan setakat ini sambutan yang diterima begitu menggalakkan.
Mengulas lanjut mengenai menu tersebut, Mohd. Fadli menerangkan bahawa dia bersama abang iparnya telah membuat kajian terlebih dahulu sebelum memasarkan produk tersebut kepada umum.
Ia adalah bertujuan untuk memastikan bahawa produk yang dipasarkan dapat memenuhi cita rasa para pelanggan.
"Sebelum kami membuat keputusan untuk mengusahakan kuetiau bakar ini, saya telah menjalankan beberapa kajian terlebih dahulu.
"Selain itu kami juga mencuba beberapa jenis cara memasak dalam usaha mencari satu kelainan.
"Akhirnya kami menemui caranya iaitu memasak pada kuali leper yang diletak di atas bara arang dan tidak menggunakan minyak, sekali gus menghasilkan satu menu yang sihat," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Restoran Hanna, No. 32, Jalan UP 1/7, UK Perdana 1, Ampang, Selangor.
Mengulas lanjut mengenai menu tersebut, jelas Mohd. Fadli, walaupun cara memasak mempunyai sedikit kelainan tetapi bahan-bahan masakan tetap sama seperti kuetiau, cili giling, kicap cair, taugeh, kucai, dan udang segar.
Begitupun, kuetiau bakar ini turut mempunyai kelainan daripada segi rasa berbanding kuetiau yang digoreng.
Menawarkan dua jenis menu iaitu biasa dan istimewa, pengunjung boleh menikmati kuetiau bakar biasa dengan tiga ekor udang segar manakala tambahan telur untuk kuetiau bakar istimewa.
Beliau menambah, menu tersebut dijual pada harga RM5 untuk menu biasa manakala RM6 bagi yang istimewa.
Apa yang pasti, idea mencipta menu tersebut benar-benar membuahkan hasil kerana setiap pengunjung dilihat tertarik dengan cara kuetiau tersebut dimasak di atas kuali leper.
Menurut Mohd. Fadli lagi, setiap hidangan akan dimasak mengikut permintaan pelanggan dan setiap kali dimasak dia hanya akan memasak untuk satu hidangan sahaja.
Mohd. Fadli berkata, cara memasak sebegitu adalah bertujuan untuk menjaga kualiti rasanya.

No comments:

Post a Comment