BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, November 29, 2012

PROMOSIKAN TANAH PENGHUJUNG BENUA ASIA


PONTIAN 26 Nov. - Tanah penghujung benua Asia di Tanjung Piai akan terus menjadi ikon pelancongan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara di daerah ini.
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng, berkata, usaha tersebut akan menjadi nilai tambah kepada promosi pelancongan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) kerana kawasan yang terletak di dalam Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) itu adalah lokasi penting selain Kukup Laut yang dikenali ramai.
"Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh sama-sama memainkan peranan bagi membantu memajukan lagi TNJTP supaya kehadiran pelancong bertambah pada setiap tahun. Sebagai daerah yang sinonim dengan penghujung benua Asia, tarikan tersebut perlu dipelihara agar menjadi aset penting.
"Oleh itu, amat wajar semua pihak memberi perhatian kepada kawasan tersebut menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang mengambil nama sempena kawasan tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Kayuhan Amal Penghujung Benua Asia di Pusat Perdagangan Pontian, di sini baru-baru ini.
Program anjuran Persatuan Tionghua Pemuda Pontian dengan kerjasama beberapa jabatan serta NGO tempatan yang bertujuan mengumpul derma itu melibatkan kayuhan basikal sejauh 70 kilometer pergi dan balik ke Tanjung Piai.
Seramai 350 penunggang mountain bike menyertai program tersebut mewakili kelab mahupun individu dari dalam dan luar daerah termasuk 12 peserta dari Singapura.
Tambah Jeck Seng, pihaknya menyambut baik penganjuran tersebut kerana dapat membantu memperkenalkan Tanjung Piai melalui aktiviti beriadah bagi mereka yang belum pernah sampai ke kawasan berkenaan.
"Kayuhan amal ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan sesuatu kepada negara, di samping menanamkan sikap ingin berbakti kepada masyarakat. Diharapkan lebih banyak NGO tampil dengan program seperti ini pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment