BANNER KEMANGI
FACILITIES
Friday, November 23, 2012
MENGANGKAT MARTABAT TALAPIA
Sebahagian besar masyarakat di negara ini masih menganggap ikan air tawar sebagai ikan kelas kedua, sekali gus menyebabkan mereka lebih gemar memilih ikan laut sebagai lauk utama.
Berdasarkan perangkaan, secara purata seorang individu di negara ini hanya memakan lima kilogram ikan air tawar setahun berbanding 46 kilogram ikan laut.
Bagi mengangkat martabat ikan air tawar, syarikat Tilapia House Sdn. Bhd. (Tilapia House), yang memasarkan filet ikan tilapia bermutu tinggi, membuka sebuah restoran yang menyediakan masakan berasaskan ikan berkenaan di Seremban, Negeri Sembilan.
Restoran yang diberi nama The Yellow River itu baru dibuka di Oakland Commercial Centre, Seremban.
The Yellow River menawarkan lebih daripada 20 jenis menu ala carte termasuk nasi goreng, sajian Barat, snek dan minuman.
Sebanyak 60 peratus daripada hidangan tersebut berasaskan filet tilapia yang dipasarkan oleh Tilapia House.
Antara menu pilihan di situ adalah tilapia black pepper, gulai tilapia Yellow River, sup tilapia, nasi goreng tilapia filet, selain masakan ala-Barat seperti tilapia fish n' chips, tilapia Slices & sambal serta cekodok tilapia & sambal.
Sementara itu, set hidangan yang menjadi pilihan pula mengandungi nasi, gulai tilapia Yellow River, sambal udang petai, ulam, air sirap dan pencuci mulut yang ditawarkan pada harga RM19.00.
Pengarah Tilapia House, Affandi Ab. Latif berkata, buat permulaan, restoran itu dibuka setiap hari Isnin hingga Sabtu, mulai pukul 11 pagi hingga 11 malam.
Katanya, restoran itu menerima sentuhan dekorasi moden dan lengkap dengan pendingin udara, selain mampu memuatkan sehingga 70 orang pada satu-satu masa.
Beliau berkata, walaupun hiasan dalaman restoran itu kelihatan moden, namun harga makanan dan minuman yang ditawarkan adalah berpatutan.
Ini kerana katanya, tujuan utama restoran ini dibuka adalah untuk meningkatkan standard ikan tilapia yang selama ini mungkin dianggap bertaraf rendah kerana merupakan ikan air tawar.
Beliau menjelaskan, ikan tilapia yang dimasak di restoran tersebut adalah dalam bentuk filet bermutu tinggi.
"Ikan tersebut diternak di Tasik Temenggor, Perak oleh Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (Trapia Malaysia), menggunakan kaedah dan kepakaran teknologi dari Norway yang berpengalaman luas dalam penternakan ikan tilapia.
"Matlamat utama pembukaan restoran ini adalah untuk mempromosikan produk filet tilapia dengan menawarkannya melalui pelbagai jenis masakan," katanya kepada S2.
Turut hadir pada majlis pembukaan restoran itu adalah Pengarah Urusan Tilapia House, Mufadzir Huzaireen Mazlan dan Chef Eksekutif The Yellow River, Sharifuddin Thani.
Affandi juga menjelaskan, perkataan Yellow River dipilih bagi menamakan restoran itu dengan tujuan mahu dikaitkan dengan gulai masak kuning atau masak lemak cili api yang menjadi identiti masakan popular di negeri ini.
Labels:
MAKAN SPOT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment