BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, December 7, 2012

KAFE TUPAI-TUPAI, TANJUNG LEMAN



MENGUTIP kulit kerang bersama anak-anak di tepi pantai Tanjung Leman, Mersing, Johor terasa amat menyeronokkan. Begitulah suasananya apabila kita sesekali bercuti bersama keluarga di tepi pantai. Pelbagai aktiviti kita boleh lakukan sambil bergurau senda selain menikmati keindahan alam.
Puas berjalan di sepanjang pantai, pasti tempat makan menjadi tumpuan kita sekeluarga. Jika berkunjung ke Tanjung Leman apa kata anda menjamu selera di Kafe Tupai-Tupai.
Pelbagai menu disediakan kepada para pengunjung sama ada secara ala carte atau bufet. Lebih istimewa, kafe ini menyediakan makanan laut yang segar dengan bekalannya diperoleh daripada nelayan tempatan.

KAFE Tupai-Tupai mendapat bekalan ikan segar dari jeti nelayan
di Tanjung Leman.


Pengurus kafe, Mohd. Saiful Samad, 26, berkata, pihaknya menyediakan bufet berharga RM6 seorang dengan menu harian termasuk makanan laut segar.
"Setiap hari, kami menyediakan lima set menu bermula dari 10.30 pagi hingga 2.30 petang. Selepas itu, kita menyediakan makanan ala carte sehingga 10 malam. Para pelanggan juga boleh menempah makanan dalam pakej-pakej tertentu yang harganya dijamin murah," katanya.
Menurut Mohd. Saiful, pihaknya amat bertuah ekoran kedudukan jeti nelayan tidak sampai lima minit perjalanan dari restoran, memudahkan bekalan ikan segar diperoleh.
"Penggunaan hasil laut yang segar membuatkan masakan menjadi lebih sedap. Dari segi harga pula, ia jauh lebih murah daripada restoran di bandar raya Johor Bahru," katanya yang telah empat tahun bekerja di kafe berkenaan.

PARA pelanggan boleh menempah pakej-pakej makanan dengan dikenakan harga yang berpatutan.


Tidak hairanlah, kafe yang dibuka pada Ogos tahun lalu itu menjadi tumpuan pelanggan tetap yang sanggup datang dari jauh termasuk dari Kuala Lumpur dan Singapura. Selain itu, orang ramai juga boleh menempah perkhidmatan katering pada kadar bayaran yang berpatutan.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 012-746 8709. - NASRI JAMALUDIN

No comments:

Post a Comment