Keadaan sedemikian menyebabkan golongan tersebut berisiko tinggi menghidapi penyakit berbahaya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol dalam darah yang tinggi.
Bagi menangani masalah tersebut, Kementerian Kesihatan menganjurkan program-program masyarakat yang bersifat hiburan tetapi bermaklumat kepada orang ramai seperti Karnival Jelajah Sihat dan Ekspo Aspirasi Sihat di seluruh negara termasuk di negeri ini.
Salah satu lokasi program tersebut adalah di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd. Yunos Sulaiman, Pekan Nanas baru-baru ini yang berjaya menarik penyertaan hampir 5,000 pengunjung sepanjang dua hari program berlangsung.
Ekspo yang memberi tumpuan tentang kesedaran kesihatan kepada orang ramai bermula dengan acara berjalan 10,000 langkah yang disertai kira-kira 1,000 orang termasuk pemimpin tempatan.
Turut diadakan pemeriksaan kesihatan, basikalthon dan senamrobikthon yang dipimpin oleh jurulatih bertauliah daripada Kementerian Kesihatan di samping demonstrasi masakan dan pertandingan resipi makanan sihat serta pameran gaya hidup sihat.
Penampilan watak kartun terkenal, Upin dan Ipin serta permainan padang seperti gladiator dan sukaneka berjaya menarik minat kanak-kanak dan golongan muda untuk turut mengambil bahagian bagi menguji kecergasan fizikal dan mental.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penyakit tidak berjangkit dengan mengamalkan gaya hidup sihat bermula dari usia muda.
Menurutnya, penyakit tidak berjangkit merupakan satu masalah besar yang dihadapi di kebanyakan negara termasuk Malaysia yang menyebabkan seseorang tidak menyedari mereka sedang menghidapi penyakit berkenaan.
"Sikap lupa dan tidak mengutamakan gaya hidup sihat menyebabkan ramai penduduk di negara ini menghidapi penyakit seperti lemah jantung, diabetes, stres, obesiti dan tekanan darah tinggi yang tidak mempunyai tanda-tanda awal sehingga ia menjadi kronik," katanya.
Justeru, beliau berharap dengan adanya kempen seumpama itu, masyarakat akan didedahkan dengan pelbagai langkah yang perlu diambil seperti amalan pemakanan sihat dan cara-cara menangani stres.
No comments:
Post a Comment