Masyarakat hari ini dilihat tidak memberi penekanan mengenai kesihatan hati. Mereka tidak sedar sekiranya fungsi hati terjejas, boleh menyebabkan kerosakan ketara kepada badan kita.
Penyakit hati ialah istilah luas yang meliputi semua masalah yang mungkin menyebabkan hati gagal melaksanakan fungsi yang sepatutnya dan salah satu daripada masalah tersebut ialah penyakit hati berlemak.
Menurut Pakar Gastroenterologi, Hepatologi, dan Perubatan, Hospital Pakar KPJ Klang, Dr. Anil K. Radhakrishnan, penyakit hati berlemak adalah keadaan di mana lemak berkumpul dalam sel hati dan lama- kelamaan akan memberi masalah kepada hati.
Tambah beliau, penyakit ini akan menyebabkan hati membengkak dan permukaannya akan menjadi kuning.
Penyakit hati berlemak ini sekiranya dibiarkan tanpa rawatan berisiko tinggi untuk menyebabkan barah hati.
Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa penyakit ini berbahaya dan boleh membawa maut," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Ulas Dr. Anil lagi, penyakit hati berlemak ini tidak mempunyai simptom-simptom yang khusus dan penyakit ini lazimnya menyerang mereka yang agak berumur.
Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, obesiti, kolesterol tinggi serta pengambilan alkohol merupakan mereka yang terdedah kepada penyakit hati berlemak ini.
Secara amnya, Dr. Anil memberitahu pesakit hanya mengalami keletihan, lesu, kehilangan berat badan pada awalnya dan sekiranya menjadi kronik, pesakit mungkin akan mengalami penyakit kuning (jaundice), bengkak perut (ascites), muntah darah, kekeliruan, dan saluran darah dalam asofagus membengkak (varices).
Katanya lagi, kebanyakan pesakit tidak menyedarinya malah pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.
Diagnosis dan rawatan ujian ultra bunyi dan diikuti biopsi pada hati dapat mengesan kehadiran lemak bagaimanapun penyakit ini seperti juga penyakit-penyakit lain mempunyai pelbagai peringkat sebelum menjadi lebih kronik.
Jelas Dr. Anil, pada awalnya penyakit hati berlemak ini akan melalui peringkat pertama iaitu hati berlemak dan sekiranya tidak dikawal atau dirawat akan meningkat kepada peringkat seterusnya iaitu steato hepatitis di mana situasi ini hati telah membengkak.
Seterusnya penyakit ini akan menular menjadi fibrosis dan peringkat terakhir ialah sirosis di mana fungsi hati akan terjejas dan pada peringkat ini ia akan terus kekal begini dan susah untuk pulih seperti sedia kala.
Apabila pesakit tidak mengawal atau pun mendapatkan rawatan untuk penyakit ini, dan sekiranya telah sampai ke peringkat sirosis, ini bermakna parut kekal pada hati di mana sel hati normal digantikan oleh tisu parut yang tidak dapat melakukan sebarang fungsi hati.
Jadi sekiranya sudah sampai ke peringkat ini, salah satu cara untuk mengubatinya ialah dengan pembedahan pemindahan hati.
Walaupun penyakit hati berlemak ini pada awalnya bukanlah satu penyakit kronik tetapi keadaan ini perlu dirawat dan ia bergantung kepada puncanya seperti sekiranya pesakit seorang individu yang banyak mengambil minuman keras, dia perlu mengurangkan pengambilan berkenaan.
Begitu juga sekiranya pesakit tersebut seorang yang obesiti, dia perlu mengawal pemakanan dan berat badannya sama dengan pesakit yang menghidap penyakit kencing manis, dan akhir sekali sudah pasti kita perlu menjalani cara hidup yang sihat serta mengamalkan pemakanan yang teratur," tuturnya lagi.
Berbicara pula mengenai statistik pesakit itu di negara Malaysia, Dr. Anil menjelaskan setakat ini statistik yang dilakukan tidak banyak tetapi apa yang dapat dilihat daripada senario semasa, penyakit ini banyak dihidapi oleh kaum lelaki dan wanita yang telah putus haid tetapi bagaimanapun ia juga boleh menyerang golongan muda malah tidak ketinggalan kanak-kanak.
Jadi secara amnya, masyarakat di luar sana adalah dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan senaman serta tidak merokok dan mengambil minuman yang beralkohol.
Pada masa yang sama juga, masyarakat turut disarankan agar bijak mengambil atau mengamalkan pemakanan sihat di mana kurangkan gula, lebihkan protein, lebihkan buah, sayur-sayuran, dan kawal pengambilan makanan yang berkarbohidrat tinggi seperti nasi putih, roti putih, mi, dan bijirin.
No comments:
Post a Comment