BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, February 11, 2014

SANDWICH KING- BB BANGI


MENIKMATI sandwic Crispy Cheezy Turkey Panini di Sandwich King, tidak keterlaluan dinyatakan ia setanding malah mungkin lebih sedap daripada kebanyakan panini yang dihidangkan di restoran francais antarabangsa.
Rasa kepingan daging ayam belanda berserta keju mozzarella, salad, bawang, tomato dan lada benggala yang rangup serta segar yang diapit roti focaccia baru keluar dari ketuhar pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Lebih mengagumkan apabila mengetahui roti focaccia serta pilihan roti lain yang digunakan, diadun sendiri di kafe yang terletak di Bandar Baru Bangi itu.
Roti sebegini yang popular di Itali diadun menggunakan pelbagai herba semula jadi seperti daun thyme, oregano lada hitam dan selasih mencipta rasa yang tersendiri.
Rasai keenakan pilihan sandwic yang lain seperti SK Scottish Slimmer Tuna yang sesuai untuk mereka yang mahu sesuatu yang sederhana atau SK Bologna Meatball untuk mereka yang sukakan kelainan.

Ujar Pengarah Sandwich King, Azilah Akashah, mereka mementingkan kesegaran dan kualiti dalam setiap hidangan yang disediakan dan memperkenalkan gaya masakan a la minute iaitu hidangan yang disediakan apabila dipesan bagi memastikan ia sentiasa segar.
"Pelanggan juga boleh membuat sendiri sandwic mereka dengan memilih roti, sayur, sos dan pilihan isinya seperti tuna, ayam cincang, makanan laut, salami daging dan pelbagai lagi.
"Sandwic King dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera dan kesemua bahan dan produk yang dihasilkan adalah 100 peratus halal," ujarnya yang turut memiliki francais Tutti Frutti di Alamanda, Putrajaya selain syarikat hartanah, Azilah Properties.
Tambahnya, hidangan sandwic sebegini amat sesuai untuk mereka yang inginkan hidangan sihat serta cepat bagi memenuhi gaya hidup penduduk bandar yang semakin sibuk.
Terang Azilah, kafe ini yang bakal membuka cawangan kedua di KLIA2 pada bulan Mei serta IOI Mall Putrajaya pada bulan November ini digerakkan oleh dua rakan kongsi yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang katering di Malaysia Airlines System iaitu Yusoff Hussin dan Najib Abu Hassan.

Kafe itu juga menghidangkan pelbagai pilihan pai iaitu pie ayam, lembu dan epal serta kek yang kesemuanya disediakan di dapur Sandwich King.
Selain itu, Sandwich King turut menyediakan pelbagai pilihan makanan tempatan dan Barat bagi memenuhi permintaan ramai.
Antara yang wajib dicuba ialah Fettucini Carbonara Creamy yang sungguh berkrim dan nasi lemak ayam yang menggunakan resipi rahsia Azilah sendiri.
Sandwich King turut menyediakan perkhidmatan katering dan tempahan khas seperti kek dan manisan lain bersempena majlis perkahwinan atau sambutan hari lahir.

No comments:

Post a Comment