SAAT melangkah masuk ke restoran D'Bakul di Subang Jaya, Selangor seperti berada di sebuah galeri seni yang penuh dengan hiasan dari kepulauan Indonesia.
Hiasan kain batik jawa, patung wayang kulit, lampu antik dan perabut kayu mewah pasti menjanjikan pengalaman seperti berada di negara seberang terutama kepada pelanggan yang pertama kali berkunjung ke restoran tersebut.
Restoran yang dibuka pada bulan Februari tahun lalu itu menyajikan pelbagai pilihan hidangan asli dari negara yang kaya dengan kepelbagaian jenis masakan itu.
Menurut seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Eliza Ahmad, 26, yang menetap di Puchong, Selangor berkata, restoran berkenaan merupakan lokasi wajib yang akan dikunjunginya hampir setiap minggu.
"Saya gemar datang ke sini kerana hidangannya yang sedap dan asli ditawarkan pada harga sangat berpatutan. Antara menu yang menjadi pilihan saya sekiranya berkunjung ke sini ialah ikan talapia saus manja, gulai ayam, ayam panggang dan sup buntut," katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran tersebut baru-baru ini.
Majlis keraian
Selain itu, dia turut memaklumkan bahawa restoran itu juga sesuai dijadikan lokasi untuk melakukan majlis keraian kerana harga setiap hidangan yang ditawarkan adalah sangat berpatutan dan berbaloi.
Menurut pengurus restoran D'Bakul, Dicky, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan perniagaannya.
"Sehubungan itu, kualiti makanan amat dititik beratkan kerana kami percaya sokongan pelanggan merupakan tunjang perniagaan ini," katanya yang merupakan warganegara Indonesia.
Menurutnya, restoran D'Bakul menyediakan pelbagai hidangan masakan dari seluruh pelosok Indonesia seperti dari Jawa, Padang dan Bandung.
Antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan di restorannya ialah Nasi Goreng D'Bakul, Udang Sambal Petai, Nasi Ayam Penyet, Sup Buntut, Nasi Bakar dan Paket Gulai Ayam.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan menu-menu tersebut boleh didapati pada harga serendah RM7 sahaja.
"Saya percaya antara sebab utama mereka ke restoran ini bukan sahaja disebabkan rasa dan kepelbagaian hidangan tetapi harga yang berpatutan," katanya sambil memaklumkan gerainya boleh menempatkan kira-kira 130 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa setiap peringkat penyediaan makanan dan minuman diambil berat. Ini termasuklah dari aspek keenakan setiap hidangan, penggunaan ramuan halal dan penjagaan kebersihan dapur dan persekitaran restoran.
"Sebagai langkah untuk terus memperbaiki dan mengekalkan mutu perkhidmatan, saya sentiasa memesan kepada kesemua 17 orang pekerja kami agar sentiasa melayan pelanggan penuh rasa hormat," katanya bahawa restoran tersebut dalam proses mendapat sijil halal.
Menurut Dicky, pelanggan di Restoran D'Bakul terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya termasuklah penduduk sekitar Subang Jaya dan warga Indonesia yang menetap di negara ini.
Di samping itu, dia turut memaklumkan bahawa restorannya juga sedia menerima tempahan secara bufet untuk pelanggan yang ingin mengadakan majlis keramaian.
Ujarnya, harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan bufet adalah sangat berpatutan iaitu serendah RM45 sehingga RM120 seorang termasuk air kosong, teh panas dan buah-buahan.
No comments:
Post a Comment