BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, February 15, 2014

YEOB BAY RESORT & HOTEL TELUK SENANGIN, LUMUT PERAK

PETUGAS Yeob Bay Hotel & Resort, Lumut, Perak sedia membantu tetamu pada bila-bila masa.

BAGI anda yang mengimpikan sebuah percutian begitu mendamaikan iaitu jauh daripada hiruk-pikuk bandar, menginap di Yeob Bay Hotel & Resort mungkin patut berada dalam senarai perancangan anda.
Terletak di tepi pesisir pantai Teluk Senangin, kira-kira 20 kilometer dari Lumut Perak, yang masih tidak terusik dengan skala pembangunan besar, kedudukannya menghadap Pulau Pangkor turut menjanjikan pemandangan menarik saujana mata memandang.
Menikmati deruan ombak dan hembusan angin pantai akan lebih bermakna jika anda turut menikmati kemudahan barbeku pada waktu malam yang ditawarkan oleh pihak hotel di ruang kafe terbuka dengan hanya RM30 seorang.
Restorannya yang dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam pula menawarkan menu masakan Melayu dan Barat seperti nasi goreng kampung dan cina, mi goreng, kueh teow goreng, chicken chop, fish and chip, lamb chop dan kentang goreng.
Yeob Bay Hotel & Resort yang pada asasnya dibuka oleh pemilik sebuah syarikat katering iaitu Yeob Catering berpusat di Ampang, Kuala Lumpur turut menyajikan minuman seperti capuccino, coklat panas, ice-blended mocha dan blue lagoon soda di restorannya.
Pengurus Operasi Yeob Bay Hotel & Resort, Mohd. Taufiq Mohd. Salleh berkata, hotel berkenaan yang 100 peratus dimiliki oleh bumiputera itu mempunyai 50 buah bilik dan boleh memuatkan sehingga 110 orang pengunjung.
Beliau berkata, terdapat empat jenis bilik yang disediakan iaitu jenis standard (dua katil single) dan joint room (empat katil single) yang menawarkan pemandangan pantai serta deluxe (satu katil bersaiz queen) dan superior (dua katil bersaiz queen) yang menghadap bukit.
"Setiap bilik berkonsepkan moden dilengkapi dengan bilik air, pendingin hawa, televisyen berskrin LCD dengan saluran Astro, namun tidak mempunyai almari.
"Hotel tiga tingkat ini juga mempunyai surau dan kemudahan tempat makan untuk tetamu khas (VIP) yang boleh memuatkan sehingga 60 orang," katanya.
Mohd. Taufiq berkata, pihaknya kini giat mempromosi Yeob Bay Hotel & Resort sebagai destinasi seminar, sesuai untuk golongan korporat dan kerajaan.
Beliau berkata, terdapat empat pakej seminar yang ditawarkan untuk kehadiran maksimum 100 orang, sama ada secara bermalam mahupun tidak bermalam, pada kadar yang cukup berpatutan beserta sarapan dan makan tengah hari.
"Kami mempunyai dewan seminar yang dilengkapi dengan projektor LCD, papan putih, sistem audio. Kudapan seperti gula-gula dan air mineral serta peralatan alat tulis iaitu pensel dan kertas turut disediakan secara percuma.
"Antara agensi kerajaan yang pernah memilih hotel kami termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak," katanya.
Waktu operasi hotel hanya dari pukul 7 pagi sehingga 11 malam dan penggunaan alkohol tidak dibenarkan di situ.
Yeob Bay Hotel & Resort yang mula beroperasi sekitar Jun tahun lalu, telah didaftarkan di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan mahupun mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 05-6880207 atau 013-2670767.

No comments:

Post a Comment