BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, August 21, 2014

HAJI KAMAL & SOUP BONZER- KELANA JAYA


BAGI penggemar sup dan mereka yang tinggal di sekitar Kelana Jaya, pasti pernah merasai hidangan terkenal Sup Bonzer yang dahulu gerainya terletak di Medan Selera Showru, Kelana Jaya.
Hidangan istimewa pelbagai jenis sup seperti sup ekor, tulang daging dan gearbox oleh chef Samsuddin Abdul Hamid begitu memikat selera dengan rasanya yang tersendiri.
Tidak menggunakan tepung, kas-kas atau perasa tambahan sebagai jalan pintas untuk memekat dan menaikkan rasanya, supnya pekat dan terasa manis dagingnya.
Namun rasa rempahnya tidak berlebihan hasil renehan sup bersama rempah-ratus rahsia dan tulang lembu berterusan menggunakan periuk tekanan tinggi.
Samsuddin lalu membuat keputusan untuk mengembangkan lagi potensinya dengan bergabung bersama Kapten Kamal Effendy Mohd. Nor dan Mohd. Zulfazally Samsuddin dan tercetus idea membuka Restoran Haji Mohd Kamal & Soup Bonzer.
Baru dibuka di Damansara Perdana, Restoran Haji Mohd Kamal & Soup Bonzer bukan sahaja menambah menu sup seperti sup asam pedas yang membuka selera, selain kira-kira 200 hidangan Cina, Nyonya dan Thailand. Berani dikatakan di sini, anda pasti tidak menyesal dengan setiap hidangan yang dipesan.

“Sebagai seorang juruterbang, rakan kongsi saya, Kapten Kamal gemar mencuba pelbagai jenis makanan ketika mengembara dan makanan Cina merupakan yang paling digemarinya tetapi agak sukar untuk menemui yang halal.
“Dia juga sering mengunjung gerai lama saya dan tercetus idea menggabungkan hidangan sup saya dan restoran hidangan Cina Muslim," ujarnya yang mempunyai pengalaman dalam bidang masakan selama 20 tahun.
Wajib cuba, Sup Gearbox Asam Pedas yang sedap dihirup begitu sahaja kerana tidak terlalu pekat atau dinikmati dengan nasi panas serta sambal ikan masin.
Aromanya yang harum dek renehan pelbagai bahan asam pedas seperti lengkuas, serai, daun kesum, bunga kantan dan akar daun ketumbar pasti membuatkan anda tidak sabar menikmatinya.
Ikan stim ala Thai yang menyentuh rasa masam, masin, manis dan pedas turut menjadi igauan selepas habis menikmatinya.
Ikan siakap terlebih dahulu dikukus separa masak kemudian dimasak bersama sosnya, gabungan pes tom yam dan cili merah, bunga kantan dan halia serta bahan-bahan lain yang dikisar terlebih dahulu.
Jangan lupa memesan hidangan Ayam Nestum Bersalut Telur Masin. Selepas disalut telur masin, ia digaul dengan Nestum lalu digoreng marjerin dengan suhu yang tepat, memberikan teksturnya yang rangup.
Kailan Yin Yong merupakan hidangan sayur yang lain dari yang lain. Sebelah pinggan dihidangkan kailan goreng yang dimayang halus dan sebelah lagi dimasak bersama ikan bilis seperti biasa.

Restoran Haji Mohd Kamal & Soup Bonzer
A-G-05, Block A Neo Damansara,
Jalan PJU 8/1,
Bandar Damansara Perdana,
Petaling Jaya, Selangor.
(Berdekatan Manhattan Business Hotel, Damansara Perdana)
Tel: 03-77325678
Facebook: www.facebook.com/restoran.hjmohdkamal/
Waktu beroperasi: Setiap hari dari 11.30 pagi hingga 11 malam


No comments:

Post a Comment