Dari jauh lagi sebenarnya, limpahan lampu kalimantang kelihatan seolah menarik perhatian bukan saja warga kota malah pelancong baik dari dalam dan negara yang berhasrat melihat warna malam di ibu negeri Darul Takzim ini.
Jika Kuala Lumpur terkenal dengan kawasan Masjid India dan Melaka dengan Jonker Walk, maka Johor Bahru terkenal dengan Bazar JB namun kerja naik taraf dan pengindahan Sungai Segget memerlukan 114 peniaga di kawasan itu berpindah ke sebuah kawasan yang terletak kira-kira 500 meter ke Jalan Syed Mufti.
Akur dengan keperluan pembangunan dan sedia maklum dengan Projek Transformasi Johor Bahru, peniaga kecil yang dipilih secara undian bersetuju untuk berpindah ke lokasi tersebut yang diberi nama Bazar Johor Bahru 2 (Bazar JB 2).
Ukuran dari sudut jarak yang dekat mungkin tidak dapat memberi gambaran realiti situasi yang berlaku, namun Bazar JB 2 ini tidak kelihatan dari dua jalan utama untuk ke sini iaitu Jalan Ibrahim atau Jalan Ayer Molek selain beberapa masalah lain sejak ia mula beroperasi pada Jumaat 15 Ogos lalu.
Persatuan Peniaga Bazar Johor Bahru (PPBJB) mengakui lokasi di belakang bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Mahkamah Johor Bahru dan Pusat Penerangan Pelancongan Johor (Jotic) agak tersorok.
Pengerusinya, Mohammad Salezan Mohd. Salleh berkata, kesemua peniaga terlibat dalam pemindahan tersebut akur dengan keputusan pihak berkuasa, namun berharap usaha mempromosikan Bazar JB 2 mendapat kerjasama MBJB, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan juga kerajaan negeri.
"Bazar JB sejak dimulakan pada 2009 telah menjadi salah satu tempat menarik untuk dilawati pelancong dan kini kita adakan Bazar JB 2 pula yang memerlukan promosi berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa.
"Produk yang dijual peniaga di Bazar JB 2 adalah sama dengan apa yang terdapat di Bazar JB malah mempunyai beberapa kelebihan kepada pengunjung seperti kemudahan tempat letak kereta yang luas dan tandas awam yang lebih selesa.
"Jika di Bazar JB, orang ramai terpaksa meletakkan kereta di tepi jalan, Bazar JB 2 mempunyai tapak letak kereta yang luas malah susunan peniaga di sini juga lebih teratur dan memudahkan pengunjung membeli-belah," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, pihak persatuan merancang pelbagai bentuk promosi termasuk di laman sosial dan juga penggunaan kain rentang untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang kewujudan kawasan baharu tersebut, namun kerjasama MBJB dan IRDA juga adalah penting dalam memastikan ia berjaya mencapai matlamat.
Tambahnya, peniaga terlibat dengan pemindahan juga diminta memberikan sokongan dengan beroperasi di lot yang diperuntukkan kerana usaha menghidupkan Bazar JB 2 adalah usaha bersama dan bukan berada di atas bahu persatuan semata-mata.
Salah seorang peniaga yang ditemui, Seri Mayang Isnin, 40, berkata, dia sudah menjalankan perniagaan barangan kosmetik sejak tiga tahun lalu di Bazar JB sebelum diminta berpindah ke kawasan baharu tersebut.
Katanya, jika dia yang menjalankan perniagaan tersebut secara sambilan turut merasa kesannya maka rakan-rakan lain yang berniaga sepenuh masa sudah tentu terjejas dengan apa yang berlaku.
"Saya faham selepas perayaan Aidilfitri memang orang kurang berbelanja, namun dalam keadaan seperti ini mungkin ramai peniaga yang tidak dapat bertahan apatah lagi di kawasan lama jualan adalah lebih baik," ujarnya.
Bagi Saadiah A. Rahman, 63, yang berniaga di Bazar JB sejak ia dimulakan lima tahun lalu, kemerosotan jualan di tempat baharu sememangnya membimbangkan peniaga yang diarahkan berpindah ke Bazar JB 2.
Dia yang membabitkan diri dalam perniagaan sejak usia muda lagi, berharap perkara itu mendapat perhatian kerajaan negeri kerana berpendapat ia adalah seiring dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
"Di tempat lama (Bazar JB), saya dapat memperoleh hasil jualan kira-kira RM300 sehari, namun sejak berada di sini beberapa hari lalu untuk mendapat RM30 sehari pun susah," ujarnya yang berniaga minuman dan produk makanan IKS.
Peniaga kasut terpakai, Mohd. Izzat Kamarulzaman, 29, pula berharap peniaga yang terlibat dalam pemindahan agar tidak 'menempel' di tempat lama di Bazar JB kerana hal tersebut akan memburukkan lagi keadaan di Bazar JB 2.
Jelasnya, dia faham jualan di Bazar JB adalah lebih baik kerana ia sudah dikenali ramai, namun tanpa kerjasama semua peniaga terlibat maka langkah menghidupkan tempat baharu akan sia-sia.
"Insya-Allah Bazar JB 2 ini akan berjaya mendapat sambutan dengan kerjasama pihak berkuasa, peniaga terlibat dan makluman berterusan kepada orang ramai.
"Banyak kelebihan untuk pengunjung di tempat baharu ini dengan tempat letak kereta yang banyak," katanya.
No comments:
Post a Comment