BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, August 4, 2014

SELERA DAPUR ARANG-KUALA IBAI, KT.


SELERA Dapur Arang menjadi tumpuan pengunjung yang menggemari ikan bakar.

GENERASI hari ini pasti ada yang tidak kenal apa itu dapur arang. Malah mereka mungkin tidak mengetahui masakan menggunakan dapur arang jauh lebih enak dan rasanya sukar ditandingi berbanding dengan hidangan dari dapur biasa.
Melihat keunikan itu, pemilik kedai Selera Dapur Arang, Mohd. Shafie Mustafa, 36, memilih untuk mengekalkan kaedah memasak makanan dengan menggunakan dapur arang.
Lebih istimewa apabila ketika rata-rata kedai makan di sekitar Terengganu berlumba-lumba menyediakan hidangan ikan bakar berempah buat para pelanggan dengan menggunakan dapur biasa, Mohd. Shafie pula cenderung untuk menyajikan ikan bakar 'kosong' yang dicicah dengan air asam semata-mata.
Selain bertujuan meneruskan warisan turun-temurun katanya, konsep memasak menggunakan dapur arang mempunyai nilai-nilai tersendiri. Malah, difahamkan hidangan ikan yang dibakar menggunakan dapur arang itu merupakan satu-satunya yang terdapat di Terengganu.
Percubaan ikan bakar kosong untuk disajikan kepada orang ramai itu merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan, tetapi ternyata berjaya memikat selera ramai apabila restoran yang baru dibuka pada 20 Mac lalu itu dikunjungi pelanggan dari seluruh negara termasuk pelancong antarabangsa.
Tambahan pula, umum mengetahui ikan bakar kosong sememangnya terbukti berkhasiat dan rendah kalori, sekali gus sesuai diamalkan dalam diet seharian.
Mengakui tidak mempunyai sebarang kepakaran mahupun resipi rahsia dalam hidangan ikan bakar menggunakan dapur arang itu, Mohd. Shafie berkata, bahan yang menjadi keutamaan dan dititikberatkan dalam prosedur operasi standard (SOP) adalah kesegaran ikan dan juga kualiti air asam.
Bagaimanapun, katanya, air asam 'kaw' yang dihasilkan sendiri oleh isterinya itu sering mendapat pujian pelanggan.
"Di sini (Terengganu), kita sudah biasa makan ikan bakar berempah dan susah nak jumpa ikan bakar kosong. Kunjungan ke beberapa restoran di Kelantan dan Melaka memberi banyak inspirasi untuk saya bangunkan perniagaan berkonsepkan ikan bakar dari dapur arang.
"Istimewanya ikan bakar kosong menggunakan dapur arang ini adalah ia lebih cepat dimasak dan pelanggan dapat menikmati keaslian rasa masakan itu. Tempoh masak bagi setiap ikan adalah antara lima hingga enam minit," katanya ketika ditemui S2.
Menurut Mohd. Shafie, pelanggan boleh memilih sendiri kesemua sembilan jenis ikan segar yang ditawarkan antaranya cencaru, kembung, pari, merah, cermin, muduk dan sotong.
Katanya, kos bagi setiap hidangan bergantung kepada harga ikan semasa. Bagaimanapun, harganya dijamin berpatutan dan murah.
Selain hidangan ikan bakar, Selera Dapur Arang turut menyediakan menu lain termasuk nasi goreng nelayan yang berharga RM3.00, ulam-ulaman kampung (RM2.00), pulut kelapa (RM1.50), ikan singgang dan ikan patin masak tempoyak.
"Kami menerima banyak permintaan untuk menyediakan masakan panas dalam kalangan pelanggan. Jadi, dalam masa terdekat dijangka terdapat penambahan menu antaranya makanan laut, maggi dapur arang, keropok lekor dapur arang dan colek perut.
"Kami juga merancang untuk membuka cawangan di Kuantan, Pahang dalam bulan September ini," katanya.
Mohd. Shafie berkata, kedai makannya kini beroperasi setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi dan mampu memuatkan 60 pelanggan pada satu-satu masa.
Menurutnya, terdapat 30 buah dapur arang di restoran itu dengan dibantu 14 pekerja termasuk lima tukang masak.
Katanya, Selera Dapur Arang yang terletak di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu turut menerima tempahan untuk sebarang majlis dan mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook (FB) Dapur_Arang dan Instagram dapur_arang2014 untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment