Bagi pemiliknya, Mohd. Afif Md. Jamil Khir, 29, sekalipun Bayu Bistro baru berusia setahun jagung, tetapi restoran ini sudah mula mendapat tempat di hati peminat makanan ala Barat. Restoran ini mula beroperasi pada April 2013.
"Bayu Bistro bukan sahaja menyajikan keenakan makanan barat yang terbaik untuk pelanggan, malah kesemua menu yang ditawarkan di sini dijual pada harga yang sangat berpatutan,'' katanya kepada sambil mengakui restorannya yang terletak di No. 8, Taman Putra Putri, Jalan Santan, Kangar turut menjadi tumpuan pelajar institusi pengajian tinggi di Perlis.
Mohd. Afif berkata, sebelum Bayu Bistro wujud memang telah ada beberapa buah lagi restoran yang menyajikan makanan barat di negeri ini. Namun begitu, katanya beliau menganggap persaingan dalam bisnes perniagaan makanan seperti ini adalah sesuatu yang sihat.
"Bagi bersaing secara sihat, Bayu Bistro menampilkan menu eksklusif seperti Chicken Skewer atau Big Bayu Beef Burger supaya pelanggan dapat menikmati kelainan apabila menjamu selera di sini,'' katanya.
Selain itu, pihaknya juga menyediakan menu lain seperti chicken chop yang sering menjadi pilihan pelanggan selain lamb chop, beef steak, salmon grill, spageti bolognese, spageti carbonara dan juga sandwic.
Katanya, pihaknya juga menawarkan dua pilihan menu percuma untuk setiap hidangan utama, selain menyediakan empat pilihan iaitu black pepper, BBQ, mushroom dan oriental.
Menurutnya, Bayu Bistro juga menyediakan minuman istimewa iaitu Bayu reMIX seperti Rising Sun (campuran oren, epal dan strawberi) serta Amazon Dream (buah kiwi) daripada pilihan minuman Bayu 7up Round da' World.
Mohd. Afif berkata, sekalipun beliau tidak mempunyai kepakaran dalam masakan barat tetapi Bayu Bistro berjaya dihidupkan dengan penglibatan keseluruhan krew termasuk tukang masak yang terdiri daripada ahli keluarga.
Mengulas lanjut, katanya, sehingga kini operasi restorannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang boleh menjejaskan perniagaan.
''Restoran ini asalnya sebuah rumah yang ruang dalamannya telah diubahsuai supaya pelanggan dapat menikmati makanan dalam suasana santai,'' katanya.
Beliau berkata, sekalipun kedudukan restoran ini agak tersorok dari jalan utama iaitu Jalan Kangar-Arau tetapi Bayu Bistro tidak pernah sunyi menerima kunjungan pelanggan.
Lulusan dalam bidang komputer ini memberitahu, pihaknya juga tidak kisah menerima teguran pelanggan supaya kualiti menu dapat diperbaiki dari segi rasa dan sebagainya.
"Kami mengutamakan kualiti dalam penyediaan bahan masakan termasuk menggunakan daging ayam segar dan daging lembu tempatan,'' katanya.
Ini kerana pihaknya mengutamakan kualiti supaya pelanggan berpuas hati dengan setiap sajian pilihan.
Katanya, Bayu Bistro yang dibuka mulai pukul 6.30 petang hingga 12.30 malam ini hanya ditutup pada hari Ahad.
Mohd. Afif juga berkata, pihaknya hanya menyajikan sajian barat tanpa hidangan lain supaya pelanggan yang datang ke situ semata-mata mahu menikmati hidangan barat.
"Kami mahu mengekalkan identiti Bayu Bistro sebagai destinasi untuk pelanggan menikmati makanan barat di Perlis,'' katanya.
No comments:
Post a Comment