BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, September 22, 2014

GANGNAM STATION-MAKANAN KOREA HALAL DI SEKSYEN 13 SHAH ALAM


Nakji Bokkeum atau sotong goreng pedas.

Korea terkenal sebagai negara yang mengamalkan pemakanan sihat kerana lebih berasaskan sayur-sayuran, tauhu, mi dan sup, selain tidak banyak menggunakan minyak.
Cara penyediaan yang kebanyakannya menggunakan kaedah mengukus, rebus dan bakar menarik perhatian orang Malaysia untuk turut mengubah cara pemakanan.
lambakan rancangan realiti dan drama Korea di kaca televisyen, sedikit sebanyak turut mempopularkan budaya makan mereka sekali gus menarik minat orang Malaysia untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Bagaimanapun, kebanyakan restoran makanan Korea di negara ini diusahakan oleh orang bukan Islam, yang secara tidak langsung menimbulkan keraguan tentang status halalnya.
Namun, penggemar makanan Korea kini boleh menikmati keenakan menu berkhasiat Korea di Gangnam Station yang terletak di Laman Seri Business, Seksyen 13, Shah Alam, yang diusahakan oleh orang Melayu, Samsuddin Abd. Aziz.
Menurut Samsuddin, restoran yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu diperkenalkan kerana di Malaysia amat jarang sekali orang Melayu memiliki restoran Korea.
“Pembukaan restoran ini adalah satu langkah untuk mewujudkan restoran halal Korea dan saya nampak potensi tersebut kerana orang Malaysia sekarang lebih terbuka untuk menerima hidangan-hidangan luar.
“Saya dan isteri pula adalah pencinta makanan. Kami telah menjelajah ke serata dunia untuk merasai makanan di negara-negara asing. Akhirnya kami memilih hidangan Korea untuk restoran ini," katanya.
Menceritakan budaya makan orang Korea, dia berkata, di negara itu hidangan pembuka selera atau lebih dikenali sebagai banchan, sangat dititik beratkan dan perlu ada sebelum menjamah hidangan utama.
Justeru, di Gangnam Station, pengunjung boleh mendapatkan pengalaman sama, kerana restoran itu menampilkan enam hidangan banchan untuk pelanggan.
Pengunjung boleh memilih sama ada Kimchi, salad buah, bayam goreng, kerang rebus, sambal kacang dan bilis, serta salad cendawan. Lebih menarik, pelanggan boleh menambah hidangan tersebut tanpa sebarang bayaran tambahan.
Menurut Samsudin, walaupun kimchi hanyalah hidangan samping, namun makanan yang diperbuat daripada sayur-sayuran seperti kubis cina, timun, lobak putih itu, sangat popular sehingga ada pelanggan meminta untuk dibungkus bawa balik.
“Orang Korea sangat berbangga dengan diet mereka kerana hidangan mereka kaya dengan nutrisi. Kimchi dan bulgogi adalah antara hidangan yang boleh menggambarkan budaya makan di sana," katanya.
Sambil menikmati hidangan Korea, suasana restoran turut dimeriahkan dengan tayangan rancangan realiti, Running Man selain tayangan muzik-muzik video kumpulan K-Pop terkenal seperti Super Junior, Big Bang serta 2PM yang digemari oleh anak-anak muda.
Hidangan bulgogi adalah menu signatur dan merupakan kepakaran Gangnam Station kerana resipi yang telah digarap oleh chef mereka adalah hasil khidmat nasihat dari Restoran Myung-ga, restoran makanan Korea asli di negara ini.
Begitupun, kata Samsudin, dia mengekalkan cita rasa Malaysia kerana menggunakan bahan-bahan tempatan supaya status halalnya tidak diragui.
Bulgogi adalah sajian daging yang dipanggang segar bersama bahan-bahan sampingan.
“Kami menggunakan hirisan daging tulang rusuk dan bahagian sirloin yang dibeli di pasaran Korea yang telah diperap supaya apabila dipanggang ia tidak liat dan keras.
“Gabungan bersama cendawan enoki, bawang, minyak bijan, bawang putih dan sos soya membangkitkan lagi rasa masin dan manis. Bulgogi ini sangat sesuai untuk hidangan sekeluarga," katanya.
Sama seperti di Korea, restoran ini mengambil pendekatan pelanggan boleh memasak sendiri daging bulgogi supaya ia kekal segar dan panas ketika menikmatinya.
Untuk itu setiap meja di dalam restoran tersebut mempunyai penyedut asap supaya restoran tidak dipenuhi dengan asap yang boleh mengganggu keselesaan pelanggan lain.
Pelanggan juga mempunyai pilihan lain seperti galbi tang yang pasti memenuhi selera penggemar hidangan sup panas.
Keenakan kuah yang terhasil daripada air rebusan daging tulang rusuk yang diperasakan dengan baik enak dimakan bersama nasi dan kimchi.
Sajian tambahan seperti nakji bokkeum iaitu sotong goreng pedas dan gun madu iaitu wantan cara Korea, ternyata memenuhi selera masyarakat tempatan dan orang ramai terutama orang Melayu tanpa was-was.
Jika mahukan hidangan ringan, anda boleh mencuba haemul pajeon iaitu sejenis lempeng telur seakan-akan piza yang dipenuhi dengan makanan laut dan sayur-sayuran. Dicicah dengan sos bagi yang ingin pedas, ia cukup untuk hidangan anda sekeluarga kerana saiznya yang agak besar.
Menarik untuk dicuba, tteokbokki rice cake adalah snek popular Korea yang perlu dicuba pelanggan diperbuat daripada kek nasi, kek ikan, dan sos pedas manis.
Pelanggan boleh meminta sama ada mahukan hidangan yang terlalu pedas, sederhana, atau tidak pedas.
Antara menu lain adalah sundubu jigae yang merupakan hidangan campuran daging atau makanan laut dengan tauhu lembut yang dimasak berkuah. Disajikan panas, hidangan itu membangkitkan selera pelanggan.
Selepas menjamu selera, apa kata anda mencuba pencuci mulut terkenal Korea iaitu patbingsu, hidangan seakan-akan ais kacang yang dimakan bersama ais krim.
Turut menyajikan minuman buah-buahan dalam tin yang dimport dari Korea bagi menampilkan sedikit kelainan kepada pelanggan Gangnam Station.
Set hidangan tengah hari yang berharga antara RM13.90 sehingga RM15.90 boleh dipilih sebagai hidangan individu.
“Kami mempunyai set BBQ dan set stimbot yang boleh dipilih pelanggan disamping beberapa hidangan yang disertakan bersama enam banchan, buah-buahan dan satu jug minuman melalui pelbagai promosi perayaan yang diadakan," katanya.
Dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi sehingga 11 malam, restoran yang boleh memuatkan sehingga 70 orang turut menerima tempahan majlis berskala kecil.
Gangnam Station turut menawarkan servis penghantaran percuma ke kawasan sekitar Shah Alam minimum 10 set.

No comments:

Post a Comment