BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, September 26, 2014

NORAINI COOKIES KE PASARAN DUNIA

KEGIGIHAN serta semangatnya dalam mengharungi dunia perniagaan seharusnya dijadikan contoh pada anak-anak muda hari ini terutamanya kepada mereka yang baru hendak bergelar usahawan.
Masakan tidak kerana sepanjang tiga dekad bergelumang dalam dunia keusahawanan, wanita kelahiran Selangor ini tidak terkecuali daripada ‘diuji’ dengan pelbagai dugaan.
Begitupun, dek kerana ingin meneruskan segala penat lelah yang telah dicurahkan selama ini, Noraini Ahmad, mengambil keputusan untuk meneruskan apa yang diusahakan selama ini tanpa menoleh ke belakang.
Ternyata keputusan yang diambil Noraini adalah tepat kerana hari ini Noraini Cookies bukan sahaja satu jenama tempatan kebanggaan negara bahkan turut mencipta nama dengan menembusi pasaran luar negara seperti di China, Brunei, Singapura, Kemboja, dan Fiji.
Sebelum membuka mulut bercerita mengenai kejayaannya itu, wanita yang berusia 58 tahun ini, terlebih dahulu berkongsi cerita mengenai pengalaman jatuh bangunnya dalam mengusahakan perusahaannya itu.
Bukanlah sesuatu yang mudah untuk melangkah masuk ke dalam satu dunia asing tambahan pula tanpa sebarang ilmu atau pengetahuan mengenai selok belok berniaga, bagaimanapun Noraini terus mengorak langkah untuk mencipta nama dalam dunia keusahawanan.
Yang pasti, semangat yang tersemat di dalam diri Noraini telah menjadikannya seorang usahawan berjaya hari ini malah dia juga boleh berbangga kerana dengan semangat itu jugalah membuatkan produk serta perniagaannya semakin dikenali dan berkembang maju.
Pertemuan sepanjang dua jam di premis perniagaannya yang terletak di No. 21, Jalan Marikh U5/174, Bandar Pinggiran Subang, Seksyen U5, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini sedikit sebanyak berjaya mencungkil rahsia kejayaan wanita cekal ini.
Menyifatkan tindakannya berhenti kerja untuk memberi sepenuh tumpuan dan perhatian kepada anak-anak adalah satu pilihan yang tepat, Noraini berkata, tiada kejayaan yang dikecapi tanpa sebarang pengorbanan apatah lagi jalan pintas.
“Asalnya saya bekerja dengan sebuah syarikat insurans di ibu kota selama sembilan tahun dan akhirnya membuat keputusan untuk berhenti kerana ketika itu anak-anak tiada orang yang menjaganya.
“Lagipun sepanjang saya bekerja rasanya saya tidak menyumbang apa-apa pun (kewangan) kerana segala gaji yang diperoleh habis untuk membayar upah orang menjaga anak-anak.
“Begitupun, tidak lama selepas berhenti dalam tempoh sebulan setengah saya mula membuat kuih basah (kuih tradisional) untuk dijual dan dari situlah segala-galanya bermula," ujarnya yang sentiasa mendapat sokongan padu daripada suami tercinta, Mohd. Shamshi Ariffin, 62, dan anak-anak tersayang, Helmee Affendee Norsham, 38; Hezir Effez Norsham, 33; Hezlee Ezha Norsham, 31; Shuhaila Norsham, 26; dan Noratika Norsham, 20.

Keputusan terbaik

Keputusan (berhenti kerja) yang diambil Noraini ketika itu ternyata memberi pulangan berganda buat dirinya apabila bukan sahaja perniagaannya semakin maju malah anak-anaknya turut berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Bercerita lagi mengenai perjalanan perniagaannya itu, Noraini yang juga merupakan nenek kepada dua orang cucu memberitahu dia memulakan perniagaan dengan mengusahakan perniagaan kuih tradisonal selama 10 tahun sebelum beralih kepada perusahaan kuih raya.
Ini kerana dia ingin bertukar angin apabila merasakan kehidupannya tidak normal seperti individu-individu lain di mana semasa berniaga kuih tradisional dia akan bekerja pada waktu malam.
Dan setelah genap 10 tahun berniaga kuih raya, Noraini mula mengembangkan perniagaannya dengan mempelbagaikan lagi produk makanan yang sedia ada kepada makanan harian.
Hari ini setelah mengharungi segala ‘sepak terajang’ dalam dunia perniagaan, Noraini Cookies semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat dengan pelbagai pilihan produk makanan harian yang ditempatkan di pasaraya-pasaraya terpilih.
Dengan memasarkan 25 jenis produk hari ini, Noraini dilihat tetap bekerja keras untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dengan membuat pelbagai perancangan untuk masa depan.
“Alhamdulillah setelah tiga kali jatuh terduduk dan tiga kali bangun daripada kegagalan, akhirnya Noraini Cookies berjaya dikembangkan.
“Daripada memasarkan kuih tradisional ke hotel-hotel di ibu kota, kini Noraini Cookies satu jenama tempatan yang memasarkan produk makanan harian termasuklah kuih raya.
“Kami turut mempunyai kilang biskut di Kazakhstan selain restoran di Batam, Indonesia dan akan dibuka sebuah lagi restoran makanan segera di Padang, Indonesia," tuturnya lanjut.
Diajak berbicara mengenai kehidupan hariannya pula, tutur Noraini, walaupun dilihat masa begitu berharga buat dirinya, dia tetap akan memperuntukkan sedikit masa untuk suami, anak-anak, dan juga cucu-cucunya.

Tidak pernah culas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan juga nenek, Noraini memberitahu sekiranya ada masa terluang dia dan juga seluruh ahli keluarga akan menghabiskan masa bersama-sama.
“Tidak dinafikan saya bekerja sepanjang masa hinggakan hujung minggu juga akan pergi melawat kedai-kedai ataupun berjumpa dengan pelanggan-pelanggan di seluruh Malaysia.
“Walaupun pada dasarnya saya dilihat begitu sibuk, tapi hakikatnya saya tetap akan memperuntukan sedikit masa untuk keluarga sama ada pergi bercuti ataupun makan malam bersama.
“Lagipun saya tidak mempunyai masalah untuk mengumpulkan kesemua anak-anak bersama kerana masing-masing tinggal berhampiran dengan saya," katanya lagi.
Hari ini dengan menggaji seramai 30 orang pekerja, Noraini Cookies Worldwide Sdn. Bhd., dilihat mampu melangkah jauh dengan segala perancangan yang telahpun dilakukan.
Turut mempunyai pelbagai lagi perancangan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada, Noraini memberitahu tidak mustahil satu hari nanti pihaknya akan mengeluarkan pula produk sejuk beku.
Menjadikan pengalaman lalu sebagai guru, Noraini hari ini boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya melalui Noraini Cookies Worldwide Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment