BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, September 6, 2014

PUNCA MATI AWAL

Penyakit kardiovaskular, kanser, respiratori kronik dan diabetes adalah kumpulan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi penyumbang tertinggi kepada peningkatan kadar kematian di seluruh dunia.
Penyakit kardiovaskular, kanser, respiratori kronik dan diabetes adalah kumpulan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi penyumbang tertinggi kepada peningkatan kadar kematian di seluruh dunia.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 38 juta orang maut akibat menghidap NCD setiap tahun dan daripada jumlah itu hampir 16 juta orang maut secara pramatang iaitu meninggal dunia pada usia muda atau sebelum usia mencecah 70 tahun.

Angka kematian akibat NCD di seluruh dunia ini didapati meningkat sejak tahun 2000 dan paling banyak dilaporkan di Asia Tenggara dan Wilayah Pasifik Barat dengan faktor yang menjadi risiko di kalangan penduduk adalah penggunaan tembakau, pemakanan tidak seimbang, fizikal tidak aktif dan pengambilan alkohol berlebihan.
Mengikut profil NCD di Malaysia dalam tempoh 12 tahun sehingga 2012 yang dikeluarkan WHO, dianggarkan 73 peratus daripada 146,000 jumlah kematian di negara ini akibat NCD dengan penyakit berkaitan kardiovaskular menjadi penyumbang utama kematian.
Malah, kematian pramatang antara umur 30 hingga 70 tahun di Malaysia akibat empat kumpulan NCD juga dianggarkan meningkat sebanyak 20 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

Merokok di kalangan lelaki masih menjadi penyumbang utama golongan berkenaan mendapat NCD, manakala wanita mendapat NCD akibat obesiti. 

Oleh itu, WHO melakukan pelbagai usaha dengan kerjasama negara yang terbabit untuk mencegah NCD menerusi sembilan sasaran global termasuk mengurangkan kadar kematian akibat NCD, menangani faktor risiko kepada NCD dan membekalkan rawatan serta perubatan setiap faktor risiko NCD.

NCD adalah penyakit kronik yang tidak boleh disebarkan kepada orang lain dan penghidapnya mendapat penyakit ini secara perlahan-lahan akibat mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.

Penyakit yang terangkum di bawah empat kumpulan NCD seperti darah tinggi, serangan jantung, strok, kolesterol tinggi, lelah, paru-paru tersumbat, kegemukan dan sakit buah pinggang. Kesemua penyakit ini boleh dicegah melalui amalan yang betul dengan mengambil makanan seimbang dan melakukan senaman secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia kesan daripada perkembangan pesat negara terutama dalam pembangunan sosio ekonomi mengubah taraf kesihatan masyarakat apabila mereka mula mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.

"Globalisasi, urbanisasi dan tekanan ekonomi mengubah budaya dan tabiat pemakanan kita ke arah cara yang tidak sihat. Malah, beban penyakit disebabkan NCD juga terus meningkat dan walaupun puncanya agak kompleks tetapi pemakanan tidak sihat dikesan menjadi penyumbang utama faktor risiko bagi NCD.

"Oleh itu, pelbagai pihak profesional kesihatan termasuk pakar pemakanan kesihatan awam diminta bersama-sama dalam melaksanakan dan menyokong usaha penyediaan sistem kesihatan yang saksama, mampu milik dan cekap sekaligus membentuk teras dalam wawasan kesihatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kesihatan Awam Antarabangsa Kali ke-4 dengan tema Paradigma Baru Dalam Pemakanan Kesihatan Awam: Ke Arah Amalan dan Dasar Kompeten di Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-66 di Geneva tahun lalu, berlaku perbincangan hebat bagi memuktamadkan dan mengguna pakai Pelan Tindakan Global untuk Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit 2013-2020 yang juga mengandungi Rangka Kerja Pemantauan Global.

"Dalam pelan berkenaan mensasarkan untuk mengurangkan kadar kematian pra matang akibat NCD sebanyak 25 peratus pada 2025. Di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan mengukuhkan program kawalan dan pencegahan NCD dengan membangunkan dan melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (NSP -NCD ) 2010-2014.

"Pengambilan pemakanan yang seimbang dalam masyarakat kita biasanya berpandukan isu kesihatan awam dan kebelakangan ini ia berkembang merangkumi pelbagai isu. 

"Di negara membangun, pengambilan makanan berlebihan menjadi kebimbangan kerana menyumbang pelbagai penyakit kronik, sedangkan di kawasan yang masih dilanda kemiskinan kekurangan makanan berkhasiat menyumbang masalah kekurangan zat dan mikronutrien," katanya.

Katanya, pencegahan penyakit adalah tanggungjawab semua pihak dan disebabkan itu semua profesional kesihatan termasuk pakar pemakanan wajar bekerja secara sinergi dan mempamerkan komitmen penuh mereka untuk mencapai misi kesihatan negara selaras dengan tema seminar. 

Lebih penting, katanya, bagaimana mencari strategi kerja yang lebih baik dalam mengurangkan faktor risiko dalam populasi terutamanya untuk mengubah tabiat atau amalan makan yang tidak sihat di kalangan rakyat Malaysia pelbagai lapisan umur bagi mengurangkan NCD.

"Malaysia menubuhkan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) sejak 1996 untuk menangani kekurangan zat makanan, diet yang tidak sihat, obesiti dan pemakanan berkaitan NCD susulan Deklarasi Dunia Mengenai Nutrisi dan Pelan Tindakan Kongres Pemakanan Antarabangsa (ICN) 1992 di Rom, Itali.

"Negara juga melaksanakan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia yang berusaha untuk mencapai dan mengekalkan pemakanan yang optimum rakyat, selain bertujuan menyediakan akses makanan yang mencukupi, berzat, selamat dan berkualiti untuk semua. 

"Ini akan menggalakkan dan menyokong strategi bagi amalan pemakanan sihat. Dasar ini mengintegrasikan dan menyepadukan usaha pihak yang berkepentingan dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian program makanan dan pemakanan yang berkesan dan berterusan," katanya.

Beliau berkata, melalui Tindakan Rangka Kerja (FFA) berpandukan Deklarasi Pemakanan Rom 2014 yang akan datang, komitmen yang dibuat ketika seminar pemakanan antarabangsa pada 1992 itu akan memastikan pembangunan dalam meningkatkan pemakanan rakyat termasuk sistem makanan global di rantau ini dilakukan dengan cara yang mampan.

"Ini akan mengukuhkan pelaksanaan NPANM yang merangkumi semua spektrum isu pemakanan termasuk aspek tadbir urus, alam sekitar, sosial dan kesihatan," katanya.

No comments:

Post a Comment