KEENAKAN menikmati bebola daging yang berjus dengan kuah sos berkrim dan rasa masam manis Jem Lingonberry pasti tidak akan dilupakan oleh pengunjung kafe Misicafe & Shoppe.
Masakan tidak, keenakan bebola daging yang berjus ini pasti memukau selera dan membuatkan pelanggan mahu berkunjung semula ke kafe residen itu.
Kafe tersebut turut menyediakan hidangan daging rusuk enak disaluti sos istimewa yang pasti memikat hati pengemar hidangan itu.
Kafe yang terletak di Guthrie Golf Academy Pitch & Putt Course, Bukit Jelutong itu menjanjikan keselesaan buat pengunjung dengan susun atur hiasan dalaman yang bersih dan kemas.
Pemilik cafe tersebut, Datin Ramziela Radzillah berkata, pelanggan tidak perlu berbelanja mahal kerana hidangan mewah itu boleh didapati dengan harga yang sangat berpatutan.
Katanya, harga makanan tempatan hanya bermula dari RM7 sehingga RM14 manakala makanan Barat sehingga RM35.
“Bahan-bahan yang digunakan pula amat segar dan resipi setiap hidangan adalah istimewa yang akan membuatkan pelanggan pasti bertamu lagi,” katanya.
Katanya, mereka bukan sahaja pakar dalam masakan Barat, pengunjung boleh menikmati masakan asam pedas Muar yang asli dengan campuran pelbagai rempah yang dihidangkan lengkap bersama nasi dan telur masin serta Mi Rebus Tulang Johor.
Bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke kafe ini, menu wajib dicuba ialah bubur Teowchew yang dihidangkan bersama enam jenis lauk-pauk dalam sebuah mangkuk berwarna biru yang cukup cantik dan kemas hidangannya.
Tambah menarik, siapa sangka Ramziela yang merupakan pelantun suara lagu Gemilang Cinta yang begitu terkenal pada tahun ‘90-an adalah pemiliknya.
Kata Ramziela, minatnya bukan sahaja menyanyi tetapi juga dalam bidang masakan sejak dari dulu lagi.
“Kesemua masakan dalam menu kafe ini adalah resipi asli yang telah diwarisi dan telah dipelajari daripada mereka yang pakar dalam hidangan tersebut.
“Lebih 30 menu yang terdapat di kafe ini mempunyai rasa asli malah pengunjung tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan hidangan enak kerana air tangan kami setanding dengan tempat asal,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, kafe ini juga turut menjual hidangan kuih tradisional seperti wajik yang kebiasaannya dimakan pada hari raya selain beberapa jenis kuih tradisional seperti pulut panggang, cara berlauk, seri muka, lopis, dan bingka.
Bagi memeriahkan suasana, kafe tersebut turut meletakkan sebuah pentas, agar pengunjung dapat menikmati dendangan lagu daripada kumpulan muzik yang membuat persembahan secara langsung setiap hujung minggu.
Katanya, kafe ini juga turut menjadi pilihan syarikat korporat dan individu sebagai tempat bagi mengadakan majlis istimewa.
“Banyak syarikat ternama menggunakan khidmat kami untuk menyediakan makanan selain menggunakan kafe ini untuk majlis tertentu seperti mesyuarat, sambutan hari jadi dan pelbagai acara istimewa lain.
“Selain itu, pentas itu bukan sahaja dijadikan tempat untuk persembahan kumpulan muzik tetapi jika pengunjung membuat permintaan agar saya mendendangkan lagu, saya akan cuba memenuhi permintaan peminat,” katanya.
Selain itu, kafe Misicafe & Shoppe turut menyediakan bufet istimewa pada bulan puasa disertakan pelbagai jenis hidangan yang pasti memikat selera pengunjung.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan bukan sahaja pengunjung yang berada di kawasan Bukit Jelutong tetapi juga dari Seremban kerana mereka lebih gemarkan suasana selesa dan tidak bersesak seperti di pusat bandar raya,” katanya.
No comments:
Post a Comment