SEPOTONG daging lembu atau daging kambing segar yang dimasak dengan cara bakar atau panggang dinikmati bersama sos lada hitam asli, antara menu pilihan ketika berkunjung ke restoran yang menyajikan masakan Barat.
Keenakan semakin terserlah apabila tekstur daging yang lembut sebati dengan bahan perapan dan dihidang bersama sajian sampingan yang menarik.
Kesemua sejian tersebut boleh dinikmati di Wangsa Grill by Chef Zubir, antara restoran masakan Barat yang menjadi pilihan warga kota ketika ini.
Terletak di 8-10, Jalan Dataran Wangsa, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, restoran ini menawarkan pelbagai menu Barat daripada resipi asli yang berasaskan daging lembu, ayam, kambing, dan tidak ketinggalan makanan laut.
Pemiliknya, Chef Zubir Md. Zain, berkata, sedikit sebanyak resipi asal telah diolah mengikut cita rasa Asia agar bersesuaian dengan selera masyarakat tempatan.
Dibuka sekitar Oktober tahun lalu, menurut chef selebriti yang tekenal sebagai salah seorang juri bagi rancangan masakan MasterChef Malaysia itu, Wangsa Grill merupakan cawangan restorannya yang ketiga selepas Laman Grill Steak & Bar-B-Que yang terletak di Shah Alam dan Kajang, Selangor.
Menyatakan bahawa pembukaan restoran tersebut adalah untuk memudahkan penduduk setempat mengunjungi restorannya selain mengembangkan lagi perniagaan sedia ada, Chef Zubir berkata, restoran terbaharu itu menyediakan menu yang berbeza dengan dua cawangan terdahulu.
“Walaupun konsep masakan yang diketengahkan adalah sama iaitu masakan Barat, daripada segi pemilihan menu di Wangsa Grill lebih banyak dan kami turut menyediakan menu untuk kanak-kanak.
“Yang pasti, kesemua menu daripada pembuka selera hinggalah pencuci mulut ada disediakan di sini. Orang ramai hanya perlu pilih menu kesukaan masing-masing,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Sememangnya merupakan seorang pakar dalam bidang masakan Barat, Chef Zubir menyatakan, walaupun ia masakan Barat, bahan-bahan yang digunakan adalah bahan-bahan tempatan selain setiap masakan yang disajikan berbeza mengikut bahan yang digunakan.
Berbicara pula mengenai penggunaan daging di restorannya, beliau berkata, semua daging diimport untuk memberi kepuasan kepada pengunjung.
Bagaimanapun, jelas Chef Zubir, setiap pengunjung jangan berasa was-was kerana kesemua daging yang diimport itu telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selain stik yang boleh diminta untuk dimasak separuh atau pun masak sepenuhnya, pengunjung juga boleh menikmati hidangan utama lain yang tidak kurang lazatnya.
Menawarkan lebih daripada 40 jenis masakan, restoran tersebut dikendalikan oleh 17 pekerja, termasuk beberapa tukang masak berpengalaman.
Dibuka setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 10.30 malam, Wangsa Grill turut mengetengahkan konsep dapur terbuka.
Boleh memuatkan seramai 120 orang pelanggan pada satu-satu masa, Wangsa Grill menyediakan hidangan mengikut tempahan pelanggan.
Ini bertujuan untuk menyajikan hidangan yang segar dan panas kepada para pelanggan untuk dinikmati.
Kepada mereka yang ingin menikmati resipi Chef Zubir bolehlah mengunjungi Wangsa Grill pada bila-bila masa sahaja tetapi para pelanggan dinasihatkan untuk membuat tempahan terlebih dahulu sekiranya mereka ingin mengunjunginya pada hujung minggu.
Untuk itu orang ramai boleh hubungi talian 017-6190825.
No comments:
Post a Comment