Isinya juga rasa enak sama ada dalam bentuk masakan berkuah mahupun digoreng sebagai makanan pembuka selera.
Bagi anda yang merupakan penggemar aneka mi dan makanan laut, mungkin boleh singgah di Restoran Sirah Mee Ketam & Mee Udang yang terletak di Jalan Saujana, Sungai Ramal, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Hidangan mi ketam dan mi udang yang dimasak secara berkuah menggunakan rencah asli pasti memberikan kelainan daripada jenis masakan berasakan mi yang anda pernah nikmati sebelum ini.
Kuahnya yang pekat dimasak menggunakan bahan-bahan rahsia turun-temurun dengan campuran rasa unik seperti pedas, masin dan manis.
Selera pasti terbuka serta merta tatkala sajian sampai di meja, apatah lagi melihat longgokan udang segar dan ketam yang diletakkan di bahagian atas mi.
Pemilik Restoran Sirah Mee Ketam & Mee Udang, Firdaus Kamaruzzaman, 23, berkata, kedua-dua sajian tersebut dimasak menggunakan resipi turun- temurun keluarganya yang berasal dari Pulau Sayak, Kedah.
“Resipi ini merupakan hasil air tangan nenek kemudian diturunkan kepada ibu saya, Zaharah Ghazali, sehingga sekarang perniagaan ini sudah memasuki generasi ketiga
“Pada 1997 perniagaan ini dikembangkan dengan pembukaan cawangan pertama di Cyberjaya sehingga tahun 2009, sebelum berpindah ke Kota Warisan, Sepang.
“Cawangan kedua pula beroperasi di Cyberjaya Expressway. Perniagaan ini dikembangkan lagi dengan pembukaan cawangan ketiga empat bulan lalu di Bandar Baru Bangi,” katanya.
Ujar anak jati Pulau Sayak itu, istimewa resipi Sirah Mee Ketam & Mee Udang terletak pada penggunaan udang dan ketam segar yang diperoleh secara terus daripada nelayan di Kuala Selangor dan Mersing, Johor.
“Kami menggunakan jenis udang dan ketam gred A yang bersaiz besar. Udang Kertas, Ketam Bunga dan Ketam Merah menjadi pilihan kerana mempunyai rasa manis dan enak apabila dimasak bersama-sama mi.
“Walaupun harga udang dan ketam di pasaran dijual sedikit mahal iaitu RM50 sekilogram, tetap sangat berbaloi untuk penggemar makanan laut.
“Jadi, harga untuk sepinggan sirah mi udang biasa iaitu RM10 dan istimewa RM20 adalah sangat berpatutan. Bagi sirah mi ketam pula RM15.
“Sejak mula beroperasi sehingga sekarang kami tidak pernah terputus bekalan udang dan ketam segar kerana kami mempunyai jaringan kuat dalam kalangan pembekal tetap yang 
sedia ada.
“Jika bekalan tidak mencukupi kami tidak akan menggunakan udang biasa yang dijual di pasar raya, sebaliknya akan mengambil langkah menutup restoran buat sementara waktu demi menjaga kualiti,” katanya.
Menurut Firdaus lagi, selain olahan kuah mi yang dimasak menggunakan resipi warisan, pihaknya hanya menggunakan khidmat tukang masak dalam kalangan ahli keluarga sahaja.
“Hanya ahli keluarga yang ditugaskan untuk menyediakan sajian ini supaya resipi tersebut kekal menjadi rahsia turun-temurun.
“Bagi menyeimbangkan kualiti rasa, dalam satu masa tukang masak hanya akan memasak tempahan pelanggan tiga hingga lima pinggan sahaja. Ini bagi menjamin rasa yang sama dan asli pada setiap hidangan tersebut
“Udang dan ketam yang diperoleh daripada pembekal akan melalui proses pengasingan dan timbang terdahulu sebelum dibungkus di dalam plastik kecil bagi menyeimbangkan berat timbangan setiap hidangan. Kemudian kesemuanya akan dimasukkan dalam peti sejuk bagi menjamin rasa segar dan tidak berbau,” katanya.
Firdaus menambah, Restoran Sirah Mee Ketam & Mee Udang yang beroperasi di Bandar Baru Bangi masih menggunakan gerai kecil yang disewa sebelum merancang membuka restoran sendiri pada masa akan datang.
Menu tambahan juga dijual di sini seperti laksa, bihun sup utara, rojak buah dan somtam.
Gerai ini beroperasi pada hari Isnin hingga Ahad bermula pukul 4 petang hingga 11 malam pada hari biasa dan berlarutan sehingga 12 tengah malam pada cuti hujung minggu.