Kepingan daging bakar sama ada lembu, ayam, kambing, atau yang lebih eksotik seperti, arnab dan rusa, diapit pula dengan bun lembut serta kesegaran salad dan tomato sememangnya mudah mengundang selera.
Melihat sambutan menggalakkan terutama warga kota terhadap makanan Barat, anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Mohd. Aizat Md Anuar, 28, mengambil keputusan membuka restoran Western Express bersama seorang rakan kongsinya.
Restoran yang menyajikan aneka jenis masakan Barat yang dibuka sejak empat tahun lalu itu, merupakan kesinambungan daripada minat dan keghairahan Mohd. Aizat terhadap perniagaan berasaskan makanan.
Sebelum memiliki perniagaan sendiri, anak muda lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, merupakan peniaga burger di pasar malam sekitar Kuala Lumpur.
Melihat potensi yang cukup besar dalam perniagaan berasaskan makanan, dia memberanikan diri membuka Western Express yang kini beroperasi di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, dan Shah Alam, Selangor.
Bercerita lanjut konsep restorannya, dia mengakui keseluruhan menu yang terdapat di Western Express adalah menu Barat yang diinspirasikan dari kota New York.
“Terdapat lebih 50 menu Barat yang boleh dinikmati oleh pelanggan yang berkunjung ke sini. Semua menu tersebut disediakan oleh tukang masak pakar dengan menggunakan bahan-bahan berkualiti dan asli.
“Selain aneka burger yang menjadi tarikan, menu lain termasuk Indo Mee Series, pelbagai masakan berasaskan hot dog dan set sajian untuk keluarga.
“Antara menu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan adalah Beef Burger Horseshoe yang menggunakan daging bakar diperap bersama jus asli ramuan empat rasa. Menu ini turut dilengkapi dengan coleslaw, keju, sos cili dan keju putar. Keenakan menu ini terletak pada rasa daging yang diperap bersama jus buatan tangan selama sehari,” katanya.
Tambah Mohd. Aizat, bagi pelanggan yang ingin menikmati makanan bersama ahli keluarga, restoran tersebut juga menawarkan menu yang berasaskan set untuk keluarga (Massive Series).
“Set ini disediakan dalam satu pinggan besar yang lengkap dengan pelbagai jenis makanan mengikut menu yang ditempah pelanggan.
“Mereka hanya membuat tempahan satu pinggan tetapi di dalamnya diberikan beberapa sajian menarik dan lengkap yang boleh dinikmati seramai dua atau tiga orang dalam satu-satu masa. Set Massive Series terdiri daripada Crispy Combo, New York Beef & Lamb dan Meat Lover Combo.
“Sambil menikmati makanan istimewa tersebut, pelanggan juga boleh mencuba minuman Oreo Overloaded dan Coconut Shake yang melengkapkan lagi sesi makan malam,” katanya.
Mohd. Aizat menambah, selain pelanggan boleh memilih menikmati makanan di dalam restoran mahupun di kawasan terbuka, harga yang ditawarkan untuk setiap menu amat berpatutan dan berbaloi.
“Menariknya di sini, pelanggan membayar setiap pinggan makanan dengan harga yang murah, namun mereka boleh menikmati makanan sehingga kekenyangan. Harga serendah RM3 hingga RM 28 memang berbaloi untuk setiap hidangan di sini.
“Tarikan lain di sini, kami juga sediakan peruntukan 20 hingga 30 meja setiap malam pada bahagian luar restoran. Beberapa gerai kecil juga beroperasi di bahagian luar yang menjual aneka makanan tambahan.
“Pelanggan boleh memilih menu kegemaran mereka sambil menikmati makanan dalam suasana santai.
“Western Express juga menawarkan perkhidmatan tempahan untuk acara santai seperti sambutan majlis hari jadi dan acara rasmi dalam kuantiti yang kecil,” ujarnya.
Restoran yang dibuka setiap hari mula beroperasi dari pukul 8.30 malam hingga pukul 3 pagi. Berminat untuk membuat tempahan boleh hubungi di talian 019-3180360 atau lawati laman facebook western express Malaysia.