Bagi mereka yang ingin menikmati makanan barat dan tempatan tetapi pada masa sama ingin mencuba makanan unik seperti ‘karipap dinosaur’, premis di nombor 29, Jalan Dataran 4/7, Taman Kempas, Johor Bahru adalah tempatnya.
Menggabungkan tiga premis iaitu Agora, H&M Lodge dan Fork N Dagger, pengunjung akan disaji dengan pelbagai menu yang pastinya akan menambat selera dengan aneka pilihan makanan yang disediakan di warung berkonsepkan pusat sehenti itu.
Pemilik Agora, Suzzanna Zainal Abidin, 29, berkata, dia dan suami, Noor Hafiz Afifi Al-Azros Noor Azman, 29, menyediakan pelbagai makanan tempatan seperti laksa Johor, laksa Penang, nasi goreng istimewa Malaysia, ayam penyet, mee kari dan bakso.
“Kami turut menyediakan aneka minuman yang kami reka sendiri seperti Agora’s Bittersweet Herba Soda, Agora’s Limau Asam Asin, Mocha Frapp, Cappucino Frapp, Vanilla Blue Frapp, Lemonade dan Coke Float.
“Bagi memastikan makanan dan minuman yang sedap, kami hanya menggunakan bahan-bahan berkualiti dan segar bagi mengekalkan keaslian rasanya,” katanya baru-baru ini.
Bagi pemilik H&M Lodge, Mokhtar Affendi Mansor, 29, pula, katanya, dia dan rakannya, Mohamad Hizwan Ramli, 29, menyediakan pelbagai makanan barat dengan sos yang dihasilkan sendiri oleh mereka.
Antara makanan yang disediakan adalah ayam dan daging panggang, fish and chip, ikan panggang, dan salad segar.
“Kami amat menjaga kualiti masakan yang disediakan kerana mahu pelanggan menikmati makanan bertaraf hotel lima bintang yang boleh dinikmati pada harga warung.
“Sebab itulah, kami menghasilkan sendiri sos lada hitam, cendawan dan BBQ kerana ia lebih sedap jika dibandingkan dengan sos segera yang dijual di pasaran,” katanya.
Sementara itu, pengunjung yang ingin menikmati makanan unik seperti karipap dinosaur dan popia pisang coklat, bolehlah mencuba di gerai Fork N Dagger yang diusahakan Suziemah Zainal Abidin, 26, dan suami, Ahmad Azree Ashar, 27.
Menurut Suziemah, karipap dinosaur bersaiz separuh pinggan itu merupakan resipi keluarganya sejak dahulu lagi dan ia ternyata mampu menarik selera orang ramai yang inginkan kelainan.
“Sebiji karipap dinosaur berintikan isi ayam, lada hitam dan daun kucai ini boleh dimakan dua atau tiga orang kerana saiznya agak besar.
“Selain karipap dinosaur, popia pisang yang disiram dengan coklat juga menjadi menu pilihan pengunjung sebagai pencuci mulut,” katanya.
Orang ramai yang ingin menikmati makanan di premis berkenaan bolehlah datang pada waktu operasi setiap hari kecuali Ahad bermula pukul 6 petang hingga 1 pagi.
No comments:
Post a Comment