CUBA mencari kelainan daripada kafe-kafe yang sedia ada di sekitar ibu kota dan pada masa yang sama ingin mengimbau kembali nostalgia lama mengenai warisan sajian asli Melayu, Ahmad Farid Yahaya telah membuka Chawan.
Menawarkan pelbagai sajian asli Melayu, antaranya ubi rebus, nasi lemak, nasi putih masak lemak daging salai serta mi rebus, kafe tersebut tidak ketinggalan menyajikan 11 jenis kopi tempatan yang pasti memikat selera setiap pengunjung.
Terletak di Publika, Solaris, Kuala Lumpur, Chawan juga mempunyai cawangannya di Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor, Bangsar, dan The Weld, Kuala Lumpur.
Sememangnya sebuah kafe yang santai, Chawan pastinya menarik minat orang ramai untuk mengunjunginya kerana bukan sahaja namanya yang dilihat unik, tetapi dekorasi yang ditampilkan juga mampu mendamaikan sesiapa sahaja yang menikmati hidangan di situ.
Selain menarik untuk memperkatakan mengenai minuman kopi yang disediakan, apa yang istimewa mengenai kesemua cawangan kafe tersebut ialah sajian yang disediakan merupakan menu sama dan dimasak dari satu dapur yang sama.
Kata Ahmad Farid, penghasilan masakan daripada satu dapur yang sama bertujuan untuk menjaga kualiti serta rasa yang sama bagi setiap masakan yang disediakan di semua cawangan.
“Ketika mula-mula terfikir untuk membuka kafe ini, selain ingin menyediakan sajian asli Melayu saya juga ingin memberikan rasa asli masakan itu sendiri.
“Dan apabila sudah membuka cawangan, saya ingin mengekalkan setiap masakan dengan rasa yang sama dan untuk itu tiada cara lain kecuali dengan memasak menggunakan dapur yang sama.
“Daripada situlah timbul idea itu dan kini semua masakan yang disediakan dimasak di dapur pusat yang terletak di Ara Damansara,” ujarnya yang juga Pengarah Urusan Impak Gemilang Sdn. Bhd.
Menyambung bicara mengenai masakan yang dimasak di dapur pusat itu, Ahmad Farid menjelaskan, apabila kesemua makanan sampai ke cawangan-cawangan Chawan, makanan tersebut akan dimasak semula apabila dipesan oleh pelanggan.
Katanya, istilah dimasak semula di sini ialah bukannya dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro, tetapi masak di dalam periuk.
Semestinya menggunakan bahan-bahan segar serta berkualiti, Ahmad Farid menambah, adalah salah satu matlamat mereka menyajikan sajian yang terbaik buat pelanggan.
Menghasilkan satu tan masakan setiap hari, kesemua masakan disediakan oleh chef-chef berpengalaman dan berkemahiran.
Bercerita pula mengenai 11 jenis minuman kopi yang disajikan, Ahmad Farid memberitahu kopi tempatan yang disediakan adalah daripada kualiti yang terbaik.
Diambil dari seluruh negara, Chawan dilihat cukup bersedia, bukan satu, bukan dua tetapi 11 jenis kopi tersedia untuk dipilih oleh setiap pelanggannya.
Dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi, operasi dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi untuk hari Jumaat dan Sabtu. Kafe tersebut menyediakan pelbagai hidangan bermula dari sarapan pagi hinggalah makan tengah malam.
“Dalam setahun Chawan hanya menutup operasinya sekali sahaja iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan untuk Hari Raya Aildiladha pula Chawan akan memulakan operasinya lewat sedikit, 11 pagi.
“Apa yang penting bagi kami di Chawan ialah bukan sahaja menyediakan hidangan yang enak tetapi turut menitikberatkan perkhidmatan terbaik yang diberikan kepada pelanggan,” tuturnya lanjut.
Dibantu seramai 130 orang pekerja, Ahad Farid menjelaskan apa yang diharapkan pihaknya ialah memberikan yang terbaik buat kesemua pelanggannya selain mampu dikenali ramai seperti kafe-kafe kopi yang sedia ada hari ini.
No comments:
Post a Comment