Selepas 12 tahun berkecimpung dalam industri minuman kesihatan terutama kopi, Abdul Halim Shareff mula memikirkan cabang baharu perniagaannya. Beliau cuba mencari sesuatu yang mendapat permintaan tinggi dan akhirnya, restoran Arab menjadi pilihan memandangkan sambutan yang diterima untuk makanan dari Asia Barat itu semakin meningkat di sekitar utara Semenanjung.
Peluang memiliki premis di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah juga membuka ruang kepadanya membuka restoran Al Khanz Hadramawt (Al Khanz) pada Julai 2013. Dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 11.30 malam, restoran itu sememangnya menjadi tumpuan pelanggan terutama pekerja di kawasan perindustrian berkenaan.
Menurut Abdul Halim, biarpun menu utama di Al Khanz adalah makanan Arab, namun beliau juga menjadikan restoran itu sebagai pusat sehenti untuk seisi keluarga dengan turut menawarkan makanan Barat dan Asia.
Menceritakan tentang restorannya, katanya, hidangan utama di restoran itu berasal dari Yemen seperti nasi mendi, hummus, shawarma, zoorbiyan dan khabsa.
“Selama lebih 12 tahun saya mengusahakan produk kesihatan berasaskan kopi dan mula terfikir untuk menceburi cabang perniagaan baharu.
“Dari situlah timbul idea untuk membuka restoran Al Khanz ini yang menawarkan hidangan makanan Arab dan mendapat permintaan tinggi di sekitar Kulim dan utara Semenanjung,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Abdul Halim menambah, berbeza dengan restoran lain yang menggunakan chef dari negara luar, tukang masak di Al Khanz adalah anak tempatan yang dilatih khusus serta menggunakan resipi mereka sendiri.
Ini kerana menurutnya, beliau belajar daripada kesilapan apabila chef yang dipertanggungjawabkan menyediakan hidangan di situ cuba ‘mencuri’ resipi yang diberi dan membawanya ke restoran lain.
“Kini chef di Al Khanz adalah anak tempatan yang dilatih khusus dan menggunakan resipi yang disediakan sendiri agar cita rasa hidangan kami memenuhi selera tempatan.
“Selain makanan Arab yang sering dipesan pelanggan, hidangan makanan Barat seperti chicken chop, lamb chop, bebola daging dan spageti turut menjadi pilihan,” ujarnya.
Al Khanz turut menyediakan hidangan ringan seperti kebab dan sandwic bagi memenuhi selera mereka yang ingin bersantai pada waktu petang sambil berborak bersama rakan-rakan.
Ditanya mengenai kemudahan lain di Al Khanz, Abdul Halim berkata, selain ruang makan bawah yang mampu memuatkan 80 pelanggan pada satu-satu masa, mereka juga memiliki dewan untuk 120 orang.
Selain itu, mereka menawarkan perkhidmatan penghantaran di sekitar lima kilometer dari restoran bagi kemudahan penduduk di sekitar Kulim.
“Kalau ada rezeki, kami merancang untuk memperluaskan lagi perniagaan ini dengan membuka cawangan Al Khanz di kawasan lain.
“Restoran ini juga menyediakan pakej khas untuk majlis perkahwinan atau kenduri-kendara lain,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment