KERTEH – Sampel dua biji telur bertukar kepada warna biru pada bahagian putihnya diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman untuk proses analisis makmal semalam.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Kerteh, Mohd Yusof Abdul Aziz berharap hasil keputusan analisis yang dilakukan dapat merungkai misteri mengapa telur yang dimasak isterinya, Sharah Shahernie Shafie, 25, itu bertukar warna biru pada bahagian putih telurnya.
Menurutnya, apa yang pelik, keadaan telur yang bertukar kepada warna biru dalam kejadian Khamis lalu masih kekal pada keadaan asal, tidak sebagaimana kebiasaan telur lain yang akan berlendir jika sudah lama.
“Telur juga masih berbau seperti bau penyembur racun serangga. Baunya cukup kuat dan meloyakan,” katanya yang mengesyaki telur berkenaan tiruan atau disuntik bahan kimia.
Sinar Harian pada Jumaat lalu menyiarkan mengenai Mohd Yusof sekeluarga yang hilang selera makan selepas dua biji telur yang dimasak isterinya bertukar menjadi warna biru pada bahagian putih telurnya, dipercayai disebabkan ia telur tiruan.
Sejurus melihat keanehan pada dua telur tersebut Mohd Yusof segera memeriksa lapan lagi telur yang tinggal dan mendapati salah sebiji daripadanya berbentuk agak ganjil dengan saiznya lebih besar daripada telur lain.
Katanya, sejak penyiaran berita itu, dia turut dihujani panggilan telefon termasuk pada waktu malam daripada saudara mara dan rakan sekerja yang berminat untuk mengetahui mengenai keadaan telur itu.
“Diharap kes ini dapat diselesaikan pihak berkenaan kerana ramai yang tertanya-tanya mengapa telur tersebut berubah warna sedemikian kerana dikhuatiri ia boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” katanya.
No comments:
Post a Comment