BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, March 9, 2012

KEENAKAN LAKSA IKAN SEKOQ

NAMA gerai Laksa Ikan Sekoq di Jalan Gangsa, Alor Setar, Kedah sudah cukup unik untuk menarik perhatian pengunjung dan pengguna yang lalu-lalang. Aroma kuah laksa daripada periuk bersaiz besar di gerai itu yang menusuk hidung mampu membangkitkan selera.
Meskipun hidangannya ringkas, laksa di gerai Laksa Ikan Sekoq cukup berbeza. Selain disajikan dengan hirisan cili merah, bawang dan telur rebus, pelanggan berpeluang menikmati seekor ikan rebus tambahan dalam setiap hidangannya. Lebih istimewa, pengusahanya mempraktikkan konsep makan sepinggan, sepinggan laksa tambah adalah percuma.
"Ini bermakna jika pelanggan meminta sepinggan lagi laksa maka mereka tidak dikenakan caj tetapi pelanggan yang meminta seekor ikan kembung tambahan, saya hanya caj di antara 50 hingga 70 sen.
"Biasanya harga ikan bergantung pada harga pasaran. Harga sepinggan laksa kami jual pada harga RM3 tetapi ia akan meningkat RM3.50 jika harga ikan meningkat," jelas pemilik gerai Laksa Ikan Sekoq, Fauzi Man, 39, yang membeli bekalan ikan kembung dan ikan selayang gred A untuk sajian laksanya.
Membangkit selera
Ditanya mengapa beliau memilih konsep seekor ikan tambahan untuk hidangan laksa, jelas Fauzi : "Saya ingin membangkitkan selera pelanggan dan mencipta signatur. Maklumlah, di Alor Setar sahaja terdapat banyak kedai yang menjual laksa."
Fauzi, yang dibantu isterinya, Hasnah Hanafi, 35, mengakui pada mulanya orang ramai kurang gemar dan pelik dengan laksa yang dijualnya. Jadi, dia menggantikan laksa yang dihidangkan bersama telur rebus sahaja. Namun lama-kelamaan ramai pula yang bertanya tentang laksa ikan sekoq sehingga mendorong Fauzi tekad menjual semula laksa dengan tambahan seekor ikan.
Mengimbas titik memulakan perniagaan, semuanya disebabkan desakan isterinya yang beria-ria untuk berniaga laksa dan ingin memperoleh wang tambahan.
Justeru, pada tahun 1995 dengan bermodalkan RM50, Fauzi membeli bahan-bahan masakan dan peralatan gerai seperti sekaki payung, dua buah meja dan lapan buah kerusi. Masih segar dalam ingatan Fauzi pada hari pertama, hanya sebungkus laksa sahaja berjaya dijual. Namun, dia tidak berputus asa.
SEAWAL pukul 11.30 pagi pelanggan mula membanjiri Gerai Laksa Ikan Sekoq yang terletak di Jalan Gangsa, Alor Setar, Kedah.
Bagaimanapun, selepas tempoh seminggu hasil jualannya mencecah 20 pinggan dan meningkat kepada 40 pinggan dalam tempoh sebulan.
"Bersyukur kerana pada hari ini sekurang-kurangnya kami mampu menjual 200 pinggan laksa sehari sehingga kami tidak menang tangan terutama pada waktu makan tengah hari dan musim cuti sekolah.
"Bagi memastikan para pelanggan berpuas hati dengan sajian laksa kami, isteri sentiasa menjaga kualiti kuah laksa. Lazimnya, pada pukul 9 malam isteri saya mula memasak kuah laksa bagi memastikan ikan dan bahan-bahan masakan sebati," terang Fauzi yang berpengalaman hampir 15 tahun berniaga laksa. Gerai laksa pertamanya berpangkalan di Jalan Kuala Kedah sebelum beroperasi di Jalan Gangsa pada hari ini.
Resipi peribadi
Menyentuh rahsia keenakan Laksa Ikan Sekoq sehingga ia popular dalam kalangan pelanggan hatta dari Kuala Lumpur, Perlis dan Perak, Hasnah berkata, dia tiada resipi rahsia.
Seperti orang lain menyediakan laksa menggunakan ikan yang dicampur asam keping, daun kesum dan bunga kantan, dia juga mempraktikkan teknik yang sama. Cuma, ibu kepada tiga anak itu akan memastikan kuah laksa dimasak dengan sempurna dan pekat.
Sementara itu, sebelum memasak, kesemua bahan mentah akan dicuci bersih. Ikan-ikan segar pula direndam dalam air perahan limau nipis yang dicampur bersama asam jawa bagi menghilangkan bau hanyir.
SIGNATUR Laksa Ikan Sekoq terletak pada ikan kembung tambahan dalam setiap hidangan laksa. 

"Saya cukup menitikberatkan aspek kebersihan kerana ini merupakan perniagaan makanan. Sebab itu, saya sentiasa mengingatkan para pekerja menjaga kebersihan di kawasan memasak dan gerai seperti menyarungkan uniform dan apron.
"Lazimnya menjelang pukul 4 petang, laksa habis dijual. Seronok melihat pelanggan gembira dan berpuas hati menikmati hidangan di Laksa Ikan Sekoq," ujarnya yang memulakan perniagaan pada pukul 11.30 pagi pada hari Isnin hingga Sabtu.
Laksa utara
Sementara itu, penggemar laksa, Khairil Sarip, 28, mengakui sebelum ini dia jarang menikmati laksa utara memandangkan dia dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor. Namun segala-galanya berubah selepas Kharil bertugas di Alor Setar.
Disebabkan kebanyakan masanya dihabiskan di Kedah, maka secara tidak langsung mendorong Khairil untuk mencuba masakan Utara.
"Pertama kali menikmati Laksa Ikan Sekoq ini, saya sudah terpikat. Ia antara laksa utara paling sedap yang pernah saya makan sehingga ada saja masa terluang saya mencuri peluang singgah ke gerai ini.
"Selain itu, saya sukapada layanan dan servis yang cekap serta staf yang ramah. Pemilik gerai jarang membiarkan pelanggan menunggu makanan dalam tempoh yang lama," terang Khairil.
HASNAH sentiasa memastikan kualiti kuah laksa dan ikan kembung rebus dikekalkan.

Menyentuh mengenai lokasi gerai Laksa Ikan Sekoq, pelanggan setia, Mohd. Erie Husairrie Ismail, 28, atau mesra disapa Erie menyifatkan ia terletak di kawasan yang mudah dicari khususnya untuk pelanggan baharu.
"Walaupun gerai ini terletak di tepi jalan tetapi persekitarannya tidak sibuk kerana ia tidak terletak di jalan raya utama. Saya suka makan di gerai ini kerana suasananya tenang dan redup dek dikelilingi pokok-pokok hijau.
"Saya gemar ke gerai laksa ikan sekoq kerana kuah laksanya yang pekat dan sarat dengan isi ikan. Adunan bahan-bahannya sebati apatah lagi dicampur bersama limau kasturi, timun, bawang dan telur rebus," kata Erie yang bertugas di Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ketika ditemui selepas menjamu sepinggan Laksa Ikan Sekoq.

1 comment: