WALAUPUN telah seminggu kita menyambut Hari Raya Aidilfitri, kemeriahannya masih terasa dengan sambutan dan jemputan menghadiri rumah terbuka.
Setelah sebulan organ perut direhatkan kini segala organ dalam badan mula bekerja keras semula.
Pemakanan yang tidak terkawal boleh mengundang pelbagai jenis penyakit misalnya gout.
Penyakit gout kini semakin banyak menyerang terutama di kalangan lelaki berusia 40 tahun ke atas namun terdapat juga mereka yang berusia bawah 30 tahun menghidapinya.
Apa sebenarnya penyakit gout? Pakar Runding Perubatan, Pusat Perubatan Taman Desa, Datuk Dr. G. Selvaraju berkata, gout adalah sakit yang melibatkan sendi-sendi kecil pada kaki dan tangan.
Paling biasa berlaku pada sendi-sendi jari kaki dan tangan tetapi boleh juga berlaku di pergelangan tangan, siku dan lutut," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh peningkatan asid urik di dalam darah dan apabila tahap asid urik ini terus meningkat, sebahagiannya membentuk kristal pada bahagian sendi lalu menyebabkannya sakit, sukar bergerak dan bengkak.
Asid urik
Dari manakah datangnya asid urik? Dr. Selvaraju berkata, asid urik terdapat dalam semua jenis makanan daripada haiwan dan purine dalam tumbuhan tetapi tahap kandungannya pelbagai.
Asid urik yang berlebihan akan bertukar menjadi kristal dan berkumpul pada sendi menjadi gout atau dalam buah pinggang sebagai batu karang," katanya.
Sebaik-baiknya jelas Dr. Selvaraju, ambillah makanan yang kurang kandungan purine atau asid urik.
Seelok-eloknya elakkan daging merah, organ dalaman haiwan, makanan laut terutama yang mempunyai cengkerang, ikan dengan lemak tinggi, produk tenusu, sayuran seperti bunga kubis, cendawan, bayam, sayur kacang dan brokoli.
Mereka juga perlu menggelakkan minuman beralkohol dan minuman bergas.
Walaupun tidak menghidap gout, seelok-eloknya ambil makanan yang kurang purine dan asid urik seperti ayam, ikan kurang lemak dan sayuran berdaun," katanya.
Bagaimanapun terdapat juga keadaan kesihatan yang menyebabkan gout seperti psoriasis dan penyakit berkaitan darah misalnya limfoma, leukemia dan hemolitik anemea.
Penyakit berkenaan yang menyebabkan sel darah merah tidak sihat dan cepat terurai membebaskan asid urik.
Pesakit yang telah menjalani pemindahan buah pinggang juga mempunyai kandungan asid urik tinggi kerana ubat penolakan cyclosporine yang diambil.
Selain itu, kanak-kanak mempunyai kandungan asid urik yang tinggi kerana sel yang sentiasa pecah tetapi mereka tidak diserang gout kerana sel berkenaan sentiasa diperbaharui.
Kata Dr. Selvaraju, adakalanya gout sukar dijelaskan kerana ada pesakit yang mempunyai kandungan asid urik yang tinggi tidak diserang gout.
Mungkin juga asid urik tadi berkumpul dalam buah pinggang dan menyebabkan batu karang," katanya.
Dalam pada itu, menurut Dr. Selvaraju, pengurangan berat badan secara mendadak menyebabkan kandungan asid urik meningkat kerana kemusnahan sel.
Justeru jika ingin berat badan ideal, lakukan dengan perlahan-lahan dengan mendapat nasihat doktor," katanya.
Apa yang lebih unik jelasnya, wanita tidak ramai menghidap gout tetapi mendapatnya selepas menopaus atas sebab yang masih tidak diketahui.
Sebenarnya kata Dr. Selvaraju, asid urik adalah salah satu risiko penyebab sakit jantung selain kolestrol, darah tinggi dan kencing manis.
Tapi ada juga yang mendapat pseudo gout dengan simptom sama seperti gout tetapi ia berkaitan dengan kalsium," katanya.
Dr. Selvaraju menegaskan, manusia perlu makan apa yang diperlukan untuk hidup dan bekerja kerana makanan yang berlebihan akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan.
Makan bukan apa yang anda inginkan tetapi makan apa yang diperlukan oleh badan," nasihatnya.
No comments:
Post a Comment