BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 25, 2012

MELBOURNE SYURGA MAKANAN HALAL


City mosque antara lebih 30 masjid di sekitar Melbourne untuk kemudahan umat Islam bersolat.

PERNIAGAAN berkonsep halal terbesar di Melbourne yang terdapat di sepanjang Sydney Road di Brunswick, menjadi lebih sibuk daripada biasa sepanjang Ramadan di mana umat Islam bertumpu untuk berbuka puasa.
Jangan terkejut! Terdapat banyak restoran, kafe dan kedai runcit di sekitar bandar itu yang menjual dan menyediakan makanan halal bagi memenuhi selera dan keperluan semua.
Di kawasan Brunswick Hill, terdapat banyak barangan eksotik, manisan dan pastri, roti Lebanon dan Turki yang tebal dan juga piza yang dibakar dengan ketuhar, menggunakan resipi dari Asia Barat. Semua ini terletak di deretan kedai dan pasar Brunswick yang memberikan kenikmatan kepada pengunjung yang menginginkan rasa masakan tulen Arab.
Antara kedai makan yang paling terkenal dan digemari di kawasan Sydney Road - Tiba's. Ia dikenali dengan makanan tradisional Lebanon berkualiti tinggi dan terhasil daripada buatan sendiri.
Jika anda inginkan satu persekitaran yang lebih meriah, Adanali, sebuah restoran Turki yang terletak berhampiran Tiba's menawarkan masakan yang menyelerakan di samping persembahan muzik dan tarian gelek.
Berbanding restoran Turki lain yang terdapat di kawasan ini, Adanali antara yang terbaik dari segi suasana, nilai dan kualiti makanan. Aghadeer - satu lagi pilihan terbaik di Sydney Road, menyediakan Pizza Pide yang dibakar dengan kayu api - bagi semua penggemar juadah Turki.
Abla, yang terletak di Elgin Street di Carlton dan beroperasi sejak 1979, dikendalikan oleh Abla Ahmad dan anak-anak perempuannya. Restoran ini terkenal dengan juadah Lebanon bertaraf tinggi, dihidangkan dengan dekorasi menarik dan suasana teres menyamankan, untuk anda dan keluarga menikmati juadah.
Rumi - satu lagi restoran Asia Barat terkenal, yang terletak di Lygon Street di East Brunswick. Ia menawarkan juadah ringkas, bukan seperti makanan Asia Barat biasa. Hidangan istimewanya disenaraikan di dalam satu menu padat antaranya 'sigara boregi' - sejenis keju 'haloumi' berbentuk sebatang cerut, 'fetta' dan gulungan filo yang diisi keju 'kasseri' - yang sungguh menyelerakan sehingga anda pasti kembali untuk mengunjungi restoran ini beberapa kali.
Bagi yang menginginkan sesuatu berbeza, kunjungi Moroccan Soup Bar yang terletak di Fitzroy North di St. Georges Road. Sup menjadi keistimewaan restoran ini yang menawarkan juadah lazat dan mengenyangkan, pada harga murah.
Kunjungi pula Gaylord di Tattersalls Lane untuk beberapa restoran yang menawarkan juadah khas dari India Utara hasil kepakaran dan pengalaman Chef Musharraf Khan.
Untuk penggemar makanan segera, Lord of the Fries semestinya tempat yang perlu dikunjungi, dengan enam lokasi berbeza di Brunswick Street, Chadstone Shopping Centre, Chapel Street, Elizabeth Street, Flinders Street dan Melbourne Central. Ia menawarkan hidangan vegetarian, Kosher dan halal, termasuk hidangan Vegan dan bebas-Gluten bagi mereka yang menyukai makanan segera yang sihat. Jika inginkan makanan vegetarian sepenuhnya, kunjungi Kafe Vegetarian Madame K di Brunswick Street, Fitzroy yang baru saja dibuka. Kafe ini terletak berhadapan Veg Out yang terkenal dengan pelbagai juadah Thai, China dan Malaysia.
Makanan lautMelbourne juga tidak asing lagi untuk para penggemar makanan laut, tanpa perlu rasa bimbang tentang kesahihan status halalnya. Restoran Masakan Laut dan Panggang Pescatores, yang terletak bersebelahan Empress Hotel di pusat bandar Inner Harbour, harus dikunjungi. Ambil 'teksi air' dari Inner Harbour dan berbuka puasalah di Barb's Fish and Chips yang terletak di kawasan pelabuhan Fisherman's Wharf bagi memuaskan selera menikmati makanan laut, dengan kombinasi makanan dan suasana yang hebat.
Bagi yang merindui kampung halaman dan menginginkan masakan tempatan Malaysia, Melbourne menawarkan juadah yang pelbagai. Little Malaysia di Liverpool Street adalah tempat terbaik yang menawarkan suasana asli seperti di rumah, dengan juadah dari gerai yang boleh dinikmati dalam satu persekitaran sederhana.
Satay Anika di Lygon Street, Brunswick menawarkan pelbagai jenis masakan kegemaran rakyat Malaysia seperti laksa dan sate. Restoran ini juga menyediakan makanan untuk majlis atau parti di dalam bilik khas, sekiranya anda inginkan privasi.
Satu lagi pilihan restoran untuk rakyat Malaysia di Melbourne Central adalah Chillipadi, yang terletak di persimpangan Elizabeth Street dan Londsdale Street. Ia menawarkan juadah mengikut citarasa dan bajet anda daripada pelbagai jenis mi, sup, masakan gerai dan juga dumpling atau ladu.
Umat Islam di Melbourne juga dapat beribadat dengan selesa sepanjang bulan suci Ramadan kerana terdapat 30 masjid di sekitar bandar antaranya Brunswick Mosque dan Coburg Isna Mosque di Sydney Road, berdekatan dengan restoran halal.
Rakyat Malaysia boleh merasai kenikmatan dan keselesaan seperti berada di negara sendiri, dengan kemudahan bersolat dan kedai makan halal.

No comments:

Post a Comment