BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, August 20, 2012

JOHOR BAKAL MUNCUL "IBU KOTA TAMAN TEMA MALAYSIA"

JOHOR BAHARU- Apabila taman tema Legoland pertama Asia di Nusajaya dibuka pada orang ramai September ini, ia menandakan kemunculan Iskandar Malaysia dan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara dan serantau. 
Selepas pembukaan taman tema Legoland bernilai RM750 juta itu, Iskandar 
Malaysia akan menerima tarikan baharu menerusi pembukaan taman tema keluarga Puteri Harbour pada November tahun ini pula. 
Kedua-dua taman tema bertaraf antarabangsa ini sudah semestinya akan menjadi 
daya penarik kepada jutaan pelancong dalam dan luar negara yang merancang untuk berkunjung ke Iskandar Malaysia dan Johor.
Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) 
Datuk Ismail Ibrahim, Iskandar Malaysia mampu merealisasi potensi besarnya dalam sektor pelancongan menerusi pelaksanaan beberapa projek infrastruktur.   
"Kami percaya Iskandar Malaysia akan menyediakan destinasi pelancongan 
sempurna untuk bersantai dan berhibur pada harga berpatutan dan kompetitif di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis taklimat tentang taman tema keluarga Puteri Harbour oleh anak syarikat Khazanah Nasional, Themed Attractions and Resort (TAR) Sdn Bhd baru-baru ini.
Taman tema keluarga Puteri Harbour yang juga terletak di Nusajaya dibina 
dengan kos RM115 juta, akan menampilkan beberapa watak animasi kegemaran kanak-kanak seperti Hello Kitty, Bob The Builder, Angelina Ballerina, Pingu dan Thomas  And Friends.
Ia juga akan menempatkan "Lat's Place," iaitu restoran kartunis kesayangan 
negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai "Lat",  yang pertama di Malaysia.
Selain kedua-dua taman tema yang berkonsepkan keluarga itu, TAR juga 
merancang membuka dua lagi taman tema bertaraf antarabangsa di pusat peranginan Desaru, di timur Johor.
Kedua-dua taman tema di Desaru itu, Ocean Splash dan Ocean Quest itu akan 
dibina oleh TAR pada kos  RM267 juta dan dijangka siap untuk dibuka pada orang ramai pada pertengahan 2014. 
Pembukaan taman tema Legoland, Puteri Harbour, Ocean Quest dan Ocean Splash di dalam waktu terdekat di Johor dengan kos keseluruhan melebihi RM1 bilion, sememangnya akan melonjakkan sektor pelancongan Johor ke tahap yang tidak pernah diimpikan sebelum ini. 
Malah sudah ada pemerhati industri pelancongan yang melabelkan Johor sebagai 
"ibu kota taman tema Malaysia", berikutan pembukaan satu demi satu taman tema di negeri selatan tanah air ini. 
Iskandar Malaysia menurut Ismail sentiasa berusaha menarik lebih banyak 
pengendali taman tema untuk beroperasi di zon ekonomi khas itu, sebagai tambahan kepada taman-taman tema sedia ada. 
"IRDA sentiasa mencari untuk mempunyai lebih banyak taman tema di Iskandar 
Malaysia dan sekitaranya, yang memberi tumpuan pada hiburan dan pendidikan bercorak kekeluargaan," katanya kepada pemberita. 
Pembangunan taman-taman tema tidak sekadar di Iskandar Malaysia dan Desaru 
kerana di bawah projek "Mersing Laguna" bernilai RM22 bilion, perancangan juga telah dibuat untuk menempatkan beberapa taman tema antarabangsa. 

No comments:

Post a Comment