BANNER KEMANGI
FACILITIES
Thursday, February 21, 2013
"AIR JAMPI" TAK WAJAR DIKOMERSIALKAN
KUALA LUMPUR 20 Feb. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan supaya air ruqyah ataupun air jampi tidak dikomersialkan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap perubatan Islam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, pengkomersialan air ruqyah kini dilihat telah dieksploitasi, malah ada sesetengah pihak cuba mengambil keuntungan mudah melaluinya.
Perkara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah apabila masyarakat mula menganggap kesembuhan itu datang daripada air jampi berkenaan. Contohnya, air ini boleh melariskan perniagaan dan menyembuhkan penyakit.
Ruqyah atau jampi ini sepatutnya dibacakan oleh orang yang selayaknya dan mengikut kaifiat serta syarat-syarat tertentu. Apabila perkara ini dikomersialkan, kita khuatir air itu tidak mematuhi syarat dan kaifiat tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jakim bagi membincangkan isu penjualan air jampi yang dilihat semakin berleluasa pada masa ini.
Jelasnya, usaha itu juga diambil untuk mengawal penjualan air jampi di pasaran sekiranya terdapat unsur penipuan dan mendatangkan kekeliruan kepada pengguna.
Tambahnya, walaupun tiada sekatan dikenakan terhadap penjualan air jampi di pasaran, garis panduan dan peraturan yang dikeluarkan haruslah ditepati peniaga produk itu terutama dari segi pengiklanan
Dalam pada itu menurut Othman, meskipun tidak dinafikan dalam Islam terdapatnya kaedah menggunakan air yang diruqyah sebagai penawar dan ubat, namun kebiasaannya pihak yang ingin mendapatkan rawatan tersebut perlu bertemu pengamal perubatan Islam yang dipercayai atau lebih baik dengan perawat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment