BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, February 11, 2013

MEE BODO-BODO BANDAR SRI JEMPOL


FADZIL Md. Najimi bersama isteri, Sanisah (kiri) dan seorang kakitangan mereka, Maziah Muktar di hadapan premis Kedai Makan Baba di Arked Mara, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

JIKA anda berkunjung ke daerah ini, jangan lupa singgah ke sebuah premis di Arked Mara, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Pastinya, anda akan rambang mata memilih menu yang disajikan di premis empat pintu milik Fadzil Md. Najimi, 39, atau lebih dikenali dengan gelaran Baba.
Premis yang dimiliki anak peneroka dari Felda Tembangau Satu, Pahang ini terkenal dengan pelbagai menu berasaskan mi, nasi ayam serta sup.
Baba yang ditemui S2 menjelaskan, dia memulakan perniagaan pada 1995 di Felda Tembangau Satu.
''Dulu, saya pernah berniaga di pasar malam selama sembilan tahun. Pada mulanya, saya hanya menjual burger goreng samurai, nasi ayam serta sup gear box.
''Melihatkan sambutan yang sangat menggalakkan, saya membuat keputusan untuk mencari premis tetap.
''Pada Oktober 2010, saya mula membuka premis di Arked Mara, Bandar Seri Jempol. Pada awalnya, saya hanya menyewa sebuah kedai sahaja. Syukur sambutan yang diterima amat luar biasa dan akhirnya hari ini, saya menyewa empat buah kedai,''jelasnya.
Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, dia sanggup pergi ke beberapa kedai di negeri lain bagi mencuba pelbagai masakan baru, sekadar untuk belajar dan mencari ilmu tentang masakan.
''Saya memang suka memasak dan cuba perkara baru. Setiap kali ke dapur, saya akan cipta resipi baru. Memang pada awalnya, kadang-kadang tidak menjadi, tetapi saya tidak berputus asa dan mencuba semula sehingga berjaya.
''Impian saya adalah untuk mencipta jenama sendiri, masakan baru dan pastinya mahu pelanggan saya makan makanan yang tiada di tempat lain," tambahnya.
Pada hari ini, beliau telah berjaya mencipta beberapa menu istimewa yang kini menjadi permintaan pelanggan setiap kali singgah makan di kedainya.
Antara menu yang mendapat sambutan adalah nasi ayam, sup gear box, mi bandung utara, mi bandung ketam, mi kari mail lambung, mi bodo-bodo, carca marba, ayam goreng madu serta sup urat keting.
Baba bukan sahaja dikenali dengan makanan, malah minuman laici kang baba trafic light turut menjadi pilihan pelanggannya.
''Minuman ini sangat berkhasiat kerana ia mengandungi pelbagai jenis ramuan termasuk laici, buah kiwi, kacang, agar-agar serta cincau. Ia dijual pada harga yang sangat berpatutan iaitu RM3.50 segelas sahaja," katanya sambil memberitahu beliau dibantu oleh isteri, Sanisah Ahmad Nazri, 33, yang bertindak sebagai tukang masak kedua bersama 20 orang kakitangan.
Selain masakan mee, beliau turut menyajikan lebih kurang 50 jenis lauk dan biasanya masakan berlauk akan mula dihidangkan pada pukul 10.30 pagi sehingga 1.30 petang.
''Saya juga menerima pelbagai tempahan luar termasuk majlis perkahwinan di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang. Buat masa ini, kami buka pada setiap hari kecuali hari Sabtu. Waktu perniagaan pula bermula dari pukul 10.30 pagi sehingga 10.30 malam,''jelasnya lagi.
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi Baba di talian             019-6946951       atau             019-6606951      .

No comments:

Post a Comment