Pengurus Besarnya, Roslan Abdul Rahman berkata, sebanyak 100 jenis makanan Jepun, Korea, Asia Barat dan makanan tradisional Melayu akan dihidangkan sepanjang seminggu festival berkenaan diadakan.
Beliau berkata, penganjuran Festival Makanan Antarabangsa yang membawa tema Cita Rasa Dunia itu sudah masuk edisi kedua dan diadakan bagi memeriahkan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang kali ini.
"Hotel Selesa telah terpilih untuk menjadi hotel rasmi untuk program berkenaan. Sehubungan itu kami rasa terpanggil untuk memeriahkan festival itu dengan mengadakan festival makanan.
"Orang ramai dan para peserta akan dihidangkan dengan pelbagai makanan sepanjang seminggu menginap di sini. Malah, mereka akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan ketika makan malam," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Festival makanan berkenaan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Ismail Mat Taib mewakili Yang Dipertua MPPG, On Jabbar.
Tambah Roslan, bagi bufet makanan tengah hari, ia akan bermula hari ini sehingga 28 Februari manakala untuk makan malam dari Isnin ini hingga 24 Februari ini.
"Pihak hotel juga menyediakan ruangan pameran dan jualan di pekarangan lobi hotel untuk memudahkan para tetamu mendapatkan cenderamata," katanya.
No comments:
Post a Comment