BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, February 11, 2013

MENANGANI STRESS



Apa itu stres? Stres adalah tekanan perasaan iaitu gangguan emosi kesan tindak balas sesuatu di luar kebiasaan atau kemampuan seseorang atau disebabkan sesuatu beban yang menimpa seseorang. Apabila berlaku stres, badan menghasilkan hormon adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih laju, pernafasan lebih kencang dan tekanan darah meningkat.
Punca stresTerdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan stres. Punca stres berkait rapat dengan persekitaran seseorang seperti masalah keluarga, kewangan, rakan, tempat kerja dengan majikan atau rakan sekerja, masalah kesihatan seperti penyakit kanser, masalah kesuburan, kematian atau perpisahan, kesesakan lalu lintas dan terlampau banyak kerja. Stres juga berpunca daripada sikap atau sifat semula jadi seseorang seperti kurang keyakinan diri, cepat putus asa, bersifat perfectionist, mengalami masalah berkomunikasi dengan baik atau berterus terang dan cepat marah.
Punca yang saya senaraikan bersumberkan persekitaran dan individu sendiri, selain itu, stres juga boleh berlaku akibat gangguan sihir, melalui jin dan iblis. Tekanan perasaan yang berpunca daripada gangguan sihir sukar dikesan oleh perubatan moden. Bagaimanapun, ramai pesakit yang berkunjung ke Pusat Rawatan Islam Al Hidayah untuk mengubati stres, setelah dikenal pasti (diagnos) oleh pihak kami, punca sebenar penyakit stres mereka disebabkan oleh gangguan sihir atau saka.
Simptom stresTanda stres boleh dikategorikan kepada empat bahagian:
Fizikal - Badan letih, sakit kepala, susah tidur, sakit badan terutamanya di bahagian bahu dan tulang belakang, degupan jantung kuat, tekak loya, ketar badan, tangan berpeluh dan rasa sejuk.
Mental - Mudah lupa, hilang tumpuan, susah buat keputusan, fikiran celaru, serabut.
Emosi - Kerisauan, kebimbangan, fikiran negatif, membuat andaian tidak betul, sugul dan muram, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, panas baran dan mudah hilang sabar.
Sikap - Suka mengeluh, makan banyak, merokok, minum arak berlebihan, agresif, maki hamun dan suka salahkan orang lain.
Kesan stresKesan positif stres ialah, ia dapat meningkatkan tenaga dan motivasi seseorang. Namun begitu, stres boleh menyebabkan banyak kesan negatif dan mudarat kepada kesihatan. Misalnya pening kepala, degupan jantung laju, sakit di bahagian bahu dan leher, masalah susah tidur, sakit belakang, selalu berpeluh dan masalah sembelit atau cirit-birit. Pesakit yang gagal mengawal stres akan menyebabkan kesan jangka panjang, seperti gangguan sistem imunisasi, kemurungan, tekanan darah tinggi, strok, sakit jantung, masalah kesuburan, kencing manis, gastrik dan ulser, asma dan masalah kulit seperti alahan kulit, jerawat dan psoriasis. Stres mampu melemahkan sistem imunisasi badan dan memudahkan kuman dan virus menyerang badan kita dan senang untuk seseorang dijangkiti penyakit seperti demam, selsema, batuk dan penyakit lain.

Kaedah mengawal stres.

Mengamalkan cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan, waktu tidur dan rehat yang cukup, kurangkan pengambilan kafein dan aktif melakukan senaman.
Pengurusan masa lebih efektif dan menjadi seorang produktif dapat mengurangkan stres lalu lambakan tugas harian dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Belajar berkomunikasi dengan lebih efisyen dan berterus-terang supaya perkara yang menyebabkan stres dapat diselesaikan dan tidak disimpan di dalam hati
Belajar teknik cara pernafasan yang betul dapat membantu menenangkan.
Bercakap dengan seseorang yang boleh dipercayai tentang masalah atau stres yang dihadapi seperti kaunselor yang dapat memberikan nasihat terbaik.
Menangani stres dari perspektif IslamApabila stres seseorang perlu mengambil wuduk dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat lima waktu, solat sunat dan tahajud dan banyakkan membaca al-Quran dan berzikir setiap masa, insya-Allah hati akan tenang dan stres berkurangan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:" Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang.." (Surah Ar'Ra'd, 28)
Ayat al-Quran sebagai terapi stres
Reda dengan ketentuan Ilahi dan setiap masalah atau stres adalah ujian Allah supaya hamba-Nya menjadi lebih tabah dan matang dalam kehidupan. Pasti terdapat hikmah atas setiap ujian yang menimpa kita. Firman Allah ;
"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu terdapat kesenangan, setelah kesulitan ada kemudahan.." (surah Al Insyirah, ayat 5-6)
Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setiap masa, terutama selepas waktu solat dan berdoa di waktu susah dan senang supaya Allah permudahkan masalah dan stres yang dialami oleh hamba-Nya
Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya seperti nikmat ibu bapa, anak-anak dan keluarga, nikmat kesihatan, pekerjaan, masa lapang, makanan dan sebagainya.
Firman Allah di dalam al-Quran :
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta." (Al-Ankabut:2-3)
"Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya" (Al-Baqarah: 286)

Rawat stres dengan ayat al-Quran

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit stres akan diberi ayat berikut untuk diamalkan dan disertai dengan doa kepada Allah SWT untuk memohon penyembuhan. Ayat yang perlu diamal adalah:
Surah Muhammad, ayat 21 hingga 32
Surah Tohaa, ayat 120 hingga 135
Cara amalannya ialah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Muhammad tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Tohaa tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Proses mengenal pasti (diagnosis) adalah sangat penting dalam rawatan kami. Kalau punca stres disebabkan masalah persekitaran atau individu, cara rawatan adalah seperti biasa. Sekiranya stres berpunca daripada gangguan sihir atau jin, sebaik-baiknya pesakit terlebih dahulu datang berjumpa perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah supaya dapat kami membuang sihir tersebut dan mengeluarkan jin yang terdapat di dalam tubuh terlebih dahulu sebelum pesakit mengamalkan bacaan surah yang diberikan. Bagi stres disebabkan gangguan sihir dan jin, sukar bagi perubatan moden untuk menyembuhkan kerana jin dan iblis hanya boleh diubati melalui ayat al-Quran.
Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran memerlukan masa, keyakinan disiplin dan kesabaran. Pesakit tidak boleh menjangkakan dengan membaca surah pada hari ini, penyakit akan sembuh pada esoknya. Kesabaran dan keyakinan sangat penting dalam proses rawatan. Pesakit mesti yakin akan mukjizat ayat Al-Quran dan yang paling utama doa kepada Allah SWT memohon penyembuhan, keberkatan dan rahmat-Nya.
Ramai bertanya, mengapakah ayat al-Quran yang diberikan, terjemahannya tidak ada kena-mengena dengan penyakit yang menimpa pesakit atau perkataan penawar atau penyakit yang dirawat. Sebenarnya, semua ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah bersifat penawar dan ini tidak boleh dijelaskan mengikut logik akal. Tiap gugusan ayat yang diberikan mempunyai sifat aura tersendiri untuk menyembuhkan penyakit. Terjemahan bukanlah ukuran bahawa sesuatu ayat al-Quran itu ada kena-mengena dengan fungsi dan sifat penyembuhan atau simpton penyakit. Misalnya surah Al Waqiah diriwayatkan mampu memberi kemurahan rezeki kepada sesiapa yang istiqamah membacanya, namun terjemahan surah Al Waqiah bukan mengenai rezeki dan kekayaan, sebaliknya mengenai suasana kiamat, syurga dan neraka. Justeru, perkara ini tidak dapat dijelaskan dengan logik akal manusia. Selama 13 tahun saya menggunakan ayat ini untuk dibacakan oleh pesakit dan hasilnya Alhamdulillah dengan keizinan Allah, pesakit sembuh, ini menjadi bukti bahawa ayat yang diberi bersifat syifa' atau penawar.
Nasihat saya kepada mereka yang mengalami gejala stres agar tidak menjadikan tekanan sebagai penghalang kejayaan hidup dan menjadi seorang yang berputus asa. Rasulullah SAW pernah bersabda sewaktu ditanya oleh sahabat,
"Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian?" jawab baginda, "Nabi-nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barangsiapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barangsiapa yang lemah imannya, sedikit pula ujiannya."
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Setiap yang bermula pasti akan berakhir, Tiap masalah ada penyelesaiannya dan tiap penyakit ada penawarnya. Yakinlah pada Allah SWT, nescaya Dia pasti membantu kita. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment