BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, February 11, 2013

LALUAN MAUT DI SIMPANG 3 KG. SAWAH


Laluan undang maut
Rasid menunjukkan keadaan jalan di simpang tiga Kampung Sawah yang memerlukan isyarat keselamatan mengelakkan kemalangan berlaku di situ.
PONTIAN - Simpang tiga Kampung Sawah yang terletak di laluan utama menghubungkan Pekan Nenas dengan Kulaijaya menjadi zon berbahaya kerana kemalangan kerap berlaku di situ, terutama pada waktu malam.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, kawasan tersebut berbukit dan tiada sebarang isyarat mengelakkan kemalangan seperti papan tanda, lampu amaran mahupun pembahagi jalan yang lengkap diletakkan.

Keadaan itu sekaligus menyebabkan pengguna jalan raya khususnya pemandu lori kerap terbabas ke laluan bertentangan dan memasuki longkang.

Penduduk, Rasid Paiman, 48, mengakui pernah melihat kemalangan berlaku di lokasi berkenaan membabitkan sebuah lori yang melanggar pembahagi jalan.

“Jalan yang berbukit di sini menyebabkan pemandu tidak dapat melihat selekoh yang ada, menyebabkan mereka tersasar dari laluan utama.

“Mujur kemalangan yang saya lihat itu hanya menyebabkan pemandunya mengalami kecederaan ringan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sudah tiba masanya pihak berkaitan melakukan kajian mengenai keselamatan di laluan berkenaan bagi membolehkan langkah keselamatan dan mencegah kemalangan diambil segera.

Manakala, bagi Mohd Nazer Yusof, 32 yang sering menggunakan laluan itu ke tempat kerjanya berkata, pembahagi jalan amat diperlukan di lokasi berkenaan selain papan tanda jalan.

Jelasnya, apa yang lebih membimbangkan adalah jumlah pengguna di jalan berkenaan semakin banyak terutamanya pemandu kenderaan berat.

“Jika dahulu jalan ini agak lengang, tetapi kini semakin banyak kenderaan melaluinya untuk ke Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan Kulaijaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment