BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, March 21, 2013

7 CARA CUCI HATI


SUATU ketika seorang sufi (ahli ibadah) bernama Hatim al-Asham diminta penjelasan oleh Ashim bin Yusuf selepas tamat pengajian majlis ilmu yang diikutinya. Ashim ialah seorang ahli fiqih yang melihat segalanya daripada kaca mata syariah.
Ashim bertanya kepada Hatim: "Ya Syaikh, bagaimanakah cara kamu melaksanakan solat?"
Hatim sebagai ahli tarekat dan syariat menjawab: "Ketika masuk waktu solat aku berwuduk dengan dua wuduk iaitu wuduk lahir dan wuduk batin. Wuduk lahir itu syariat dan wuduk batin pula adalah hakikat."
Ashim sebagai orang yang banyak memberi tumpuan pada fiqih agak terkejut. Melihat keadaan itu, lantas Hatim segera menerangkan bahawa: "Wuduk lahir dilakukan dengan membersihkan anggota badan menggunakan air. Manakala wuduk batin pula, kita haruslah mencuci hati dengan tujuh hal iaitu:

1/ Hati dicuci dengan rasa penyesalan (an-nadamah) - menyesal daripada pelbagai kesalahan dan kerana meninggalkan kebaikan. Sayyidina Umar bin Khattab r.a memiliki kebun kurma di Madinah. Pohon-pohon kurmanya berbuah dengan kualiti yang baik sekali. Alangkah bahagiannya hati Umar memiliki kebun tersebut. Beliau seringkali berjalan mengelilingi dan memeriksa hasil perkebunannya. Di dalam kebun itu juga terdapat satu sumber air.
Suatu hari, ketika Umar pulang dari kebunnya, beliau berjumpa dengan para sahabat lalu berjalan bersamanya. Umar bertanya: "Dari manakah kalian?" Jawab para sahabat: "Kami baru pulang daripada berjemaah Asar."
Dengan segera Umar berucap "Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi kalian tadi habis jemaah Asar? Masya-Allah, saksikanlah para sahabat. Aku ketinggalan berjemaah kerana kebun kurma ini. Maka kebun ini aku wakafkan kepada fakir miskin."
Inilah contoh yang harus kita teladani dalam hal penyesalan meninggalkan satu ibadah kebaikan. Bacaan taroji': Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun merupakan ungkapan ketika seseorang yang berhadapan dengan cubaan dan musibah. Jadi suburnya kebun dan sumber air bagi Umar tidak lain hanyalah cubaan yang menimpa dirinya. Dan kalimat ini juga menunjukkan betapa penyesalan luar biasa daripada beliau akibat ketinggalan solat Asar berjemaah.

2/ Hati harus dicuci dengan taubat (taubat nasuha) - iaitu dengan bersungguh-sungguh dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jika perlu taubat itu disertai dengan puasa tiga hari sebagai bukti kesungguhan, selain membiasakan solat malam.

3/ Hati harus dicuci dengan meninggalkan cinta dunia - Cinta dunia mengakibatkan perbuatan yang salah seperti menipu, curang, rasuah dan sebagainya.

4/ Hati dicuci dengan menjauhkan diri daripada sukakan kekuasaan (hubbur riyasah). Sesungguhnya kekuasaan sering menyibukkan manusia dan memalingkannya daripada Allah Yang Maha Kuasa.

5/Hati harus dicuci dengan meninggalkan perasaan suka dipuji (hubbul mahmadah). Pujian seringkali menenggelamkan manusia dalam sifat keAkuan yang mengakibatkan kesombongan yang luar biasa.

6/ Baiknya hati dicuci daripada dendam. Meninggalkan dan melupakan dendam kesumat secara automatik akan memberikan kepada seseorang itu ketabahan dan kesabaran menghadapi cubaan dan rasa sakit daripada orang lain.

7/ Baiknya hati dicuci dengan meninggalkan hasad dengki yang sudah pastinya sangat berbahaya. Bahaya hasad adalah seperti bahayanya api yang dengan cepat membakar kayu.
Kemudian Hatim menceritakan pula bagaimana cara beliau melaksanakan solat dengan kata-katanya: "Ketika memulakan solat, aku merasa Kaabah di depanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, siratal mustaqim di telapak kakiku, dan Izrail telah menunggu di belakangku yang siap sedia mencabut nyawa."
Inilah yang dikatakan Qashrul amal (pendek angan-angan) iaitu semangat yang mampu mendorong untuk meningkatkan kualiti beribadat.

No comments:

Post a Comment