BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, March 16, 2013

BILA SIPUT BABI DIKATAKAN ENAK DAN BERKHASIAT



RASA siput babi panggang dikatakan lebih enak berbanding cara masakan yang lain.

JIKA di Malaysia gulai lemak siput sedut menjadi makanan kegemaran ramai namun berbeza pula halnya di China, Peru, Latvia dan negara-negara Afrika Utara yang menganggap siput babi sebagai hidangan istimewa.
Malah haiwan perosak tanaman khususnya sayur-sayuran itu diternak secara komersial di ladang-ladang pembiakan. Selain dipasarkan secara segar di pasar awam, siput babi itu juga dijual dalam bentuk paket dan tin di pasar raya.
Menurut laman web www.21food.com, produk sejuk beku haiwan itu mendapat sambutan ramai. Sebagai contoh, sebuah ladang di Pachacamac dekat Lima, Peru menjadi pembekal siput babi jenis Helix aspersa.
Ladang ini membekalkan siput babi sehingga 3,000 kilogram (kg) seminggu dengan harga antara RM15 hingga RM16 sekilogram.
Ladang yang diberi nama Mynshop Sac ini ditubuhkan pada tahun 2007 yang bertujuan meningkatkan dan mengkomersialkan siput spesies tersebut. Siput ini dijual segar dan boleh dijadikan krim kecantikan.
Di China pula, ladang yang diusahakan sudah berusia lebih 17 tahun. Ladang yang terletak di Xinqiao, Beijing itu, Jinmengxuan Snail Breeding Co. Ltd. juga membekalkan siput baka aspersa.
Bekalan siput ini sentiasa berterusan sepanjang empat musim setiap tahun.
Bermula daripada ladang yang kecil, kini ia merupakan ladang pembiakan siput babi terbesar di China. Ladang ini membekalkan 9,000 kg hingga 11,000 kg siput sebulan.
Penyelaras bagi program Inisiatif Afrika Barat dan Pembangunan Pertanian Lestari (UMCOR), Yehezkiel. C Freeman, berpendapat siput babi adalah bagus untuk manusia dan sedap dimakan terutamanya jika dibakar.
Tambahnya, siput ini mempunyai banyak khasiat dan tinggi kandungan protein. Ia selalu dimakan oleh individu yang mengamalkan diet.
“Pada awalnya, masyarakat Afrika memakan siput apabila mereka ke hutan untuk mencari madu lebah.
“Namun, selepas program UMCOR, kami telah mengajar mereka membina sangkar siput dan cara memberinya makan,” jelas Freeman.

DI benua Afrika tempat asal siput babi, haiwan itu dianggap sebagai makanan istimewa.

Menurut Catlin Cottage dalam www.snailfacialcream.com, siput dan manusia berkongsi banyak elemen kulit yang sama. Siput membekalkan serum yang kaya antioksida yang berfungsi mengatasi masalah penuaan.
“Penggunaan serum atau krim siput juga boleh mengatasi masalah kulit yang terbakar dan terdedah kepada cahaya matahari,” jelasnya.
Pelakon terkenal Hollywood, Katie Holmes merupakan salah seorang pengguna krim siput menurut akhbar Daily Mail. Krim yang digunakan Holmes itu juga didakwa boleh menghilangkan parut pada wajah.
Antara jenama produk krim siput yang terkenal ialah Missha, Dr. Jart+ dan Labcconte
Selain daripada dijadikan krim kecantikan, siput babi juga dikatakan boleh dijadikan alat urutan terapi di salun kecantikan.
Menurut pemilik sebuah salun kecantikan di bandar Krasnoyarsk, Rusia, Alyona Zlotnikova, siput babi mampu mempercepatkan pertumbuhan semula kulit, menghilangkan kedutan, parut dan kesan terbakar.
Alyona akan meletakkan siput hidup di muka dan badan pelanggannya. Siput yang bergerak dan mengengsot di sekitar wajah tersebut dianggap sebagai terapi.
Lendir dan sisa kumuhan yang dikeluarkan siput tersebut mengandungi asid gloikolik dan elastin.
Pengarah Institut Pembedah Laser Dermatologi di Amerika Syarikat, Dr. Elizabeth Tanzi, berkata, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan krim daripada lendir siput boleh menenangkan dan antiradang.
“Namun tiada kajian saintifik yang boleh membuktikan kesahihannya. Jadi, saya masih ragu-ragu tentangnya,” jelasnya.

GULAI lemak siput sedut menjadi kegemaran sesetengah rakyat negara ini.

Hakikatnya terdapat lebih daripada 74,000 spesies siput yang berlainan saiz dan warna cangkerang dengan pelbagai nama saintifik.
Haiwan ini berasal dari benua Afrika. Jangka hayatnya pula mencecah hingga 10 tahun. Saiz siput dewasa boleh mengembang sehingga 20 sentimeter panjang.
Kebiasaannya, siput babi mengembang dengan aktif untuk enam bulan pertama selepas kelahirannya, dan selepas setahun, pertumbuhan itu akan terus berlaku. Haiwan yang bercangkerang ini mempunyai berat sehingga 600 gram.
Pengarah Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan, Jabatan Pertanian Malaysia, Jabar Shaik Mohideen berkata, di negara ini siput babi lebih dikenali sebagai haiwan perosak.
“Siput babi ini bukan sahaja merosakkan tanaman jenis makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan malah turut memakan pucuk-pucuk pokok hiasan,” ujarnya.
Jelasnya, setakat ini pihaknya belum menerima laporan wujudnya ladang ternakan siput babi komersial di negara ini seperti yang dilakukan dalam ternakan lintah dan cacing.
“Mungkin ada rakyat Malaysia yang memakan siput babi tapi saya rasa bilangannya kecil sahaja,” katanya sambil menambah, taraf hidup yang semakin tinggi menyebabkan masyarakat di negara ini lebih mementingkan kualiti makanan yang diambil. 

No comments:

Post a Comment