Namun berbeza pula dengan menu di negeri jelapang padi ini. Ini kerana menu daging bakar yang dinamakan 'harimau menangis' menjadi antara sajian yang mendapat sambutan baik dalam kalangan pengunjung di Restoran Herba dan Ikan Bakar Rojam, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah.
Menu daging bakar harimau menangis itu mula diperkenalkan sejak restoran itu dibuka pada Januari tahun lalu. Menu itu kini menjadi menu yang paling banyak menerima tempahan daripada masyarakat sekitar.
Pengurus restoran tersebut, Shahril Shuib berkata, ilham untuk menyajikan menu daging bakar harimau menangis timbul selepas diperkenalkan oleh seorang sahabatnya yang dikenali dengan panggilan Mejar.
"Pada mulanya, saya tergelak mendengar nama harimau menangis ketika diperkenalkan oleh Mejar. Ini kerana saya belum pernah mendengar menu itu walaupun ia sudah terkenal di Thailand.
"Sebenarnya daging bakar harimau menangis adalah daging lembu yang terletak di bahagian pinggang dan menurut orang tua-tua, pinggang lembu antara bahagian yang akan digigit terlebih dahulu oleh harimau dan sekiranya tidak dapat, ia akan menangis," katanya ketika ditemui S2 di restorannya baru-baru ini.
Daging yang dijual bermula dengan berat 200 gram itu akan diperap terlebih dahulu dengan menggunakan herba seperti stivia, halia dan madu sebelum dibakar. Bahan cicah untuk menu itu adalah air asam atau sambal kicap yang diperah dengan air limau.
Shahril berkata, menu daging bakar harimau menangis sering menjadi pilihan pelanggan kerana di bahagian tersebut terdapat isi dan lemak daging yang sedap.
Katanya, menu daging bakar harimau menangis dijual pada harga sekitar RM5 hingga RM10 mengikut berat daging tersebut.
Tambah menarik, pengunjung juga dapat menikmati 24 jenis lauk lain termasuklah ikan bakar yang turut menjadi pilihan ramai.
"Terdapat beberapa jenis lauk seperti paprik dan pajeri yang kami masukkan herba untuk memberi rasa yang berbeza berbanding di kedai lain.
"Penggunaan herba dalam masakan menjadi trademark di restoran ini, di mana kami juga menyajikan sup gamat kepada pengunjung sekiranya mereka membuat tempahan awal," katanya.
Tidak hanya masakan yang disediakan menggunakan herba, pengunjung juga diberikan minuman herba mas cotek secara percuma untuk memberi kesegaran selepas makan tengah hari.
Restoran yang diusahakan oleh empat daripada enam beradik itu turut menyajikan bubur kacang percuma sebagai pencuci mulut kepada pengunjung pada setiap Ahad dan Khamis.
"Sebelum membuka restoran ini, kami berniaga herba yang dikenali dengan nama Rojam. Kemudian saya dan keluarga terfikir untuk memperkenalkan lagi produk herba kepada orang ramai melalui masakan.
"Dari situlah kami mula membuka sebuah restoran di mana pengunjung dapat menikmati hidangan tengah hari, di samping merasai keistimewaan herba," katanya.
Pengunjung juga boleh membeli pelbagai jenis produk herba yang dijual di restoran yang dibuka mulai 10 pagi hingga 4 petang itu.
No comments:
Post a Comment