BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, March 2, 2013

MAKANAN IKAN HALAL


Makanan ikan halal dihasilkan
Wan Abu Bakar (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Pemasarannya, Mohd Izurin Azman Bakti dan kakitangannya menunjukkan pelet yang dihasil dan dipasarkan Zeotech Industries.
Pengeluar makanan akuatik Bumiputera pertama di Kelantan, Zeotech Industries (M) Sdn Bhd kini dalam usaha membantu penternak ikan di negara ini mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan yang diragui kebersihan dan kesuciannya.

Ketua Pegawai Operasinya, Wan Abu Bakar Wan Omar berkata, makanan ikan  atau pelet yang dihasilkan syarikat itu dijamin halal, suci dan selamat bukan sahaja untuk ternakan, malah manusia.

"Ini kerana bahan- bahan digunakan seperti dedak padi, beras hancur, isi ikan yang kebiasaannya digunakan untuk membuat keropok dan tepung gandum, sudah melalui proses penyelidikan dan dibuktikan tidak mengandungi bahan beracun serta tidak memudaratkan,” katanya kepada Sinar Harian di Karnival Antarabangsa Bio Kelantan 2013 (Bio-K’ 13), yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC), semalam.

Wan Abu Bakar berkata, jika sebelum ini ramai dalam kalangan penternak memilih perut ayam dan bahan buangan semata-mata untuk mengurangkan kos, namun kini alasan tersebut mungkin tidak lagi relevan kerana sudah wujud pelet halal dihasilkan syarikatnya.

"Masalah kos bukan lagi menjadi persoalan kerana makanan ikan dikeluarkan Zeotech Industries murah dan mampu dibeli penternak," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya sentiasa memantau kualiti produk supaya ikan dapat membesar menepati jadual, selain menghasilkan pelet tanpa bau dan bebas daripada racun serta sisa toksik.

“Penternak tidak perlu ragu tahap kebersihan dan kesucian pelet kami kerana produk kami telah melepasi ujian halal dari makmal diiktiraf selain dilengkapi sistem pengilangan yang maju, kakitangan berpengalaman dan kawalan kualiti ketat,” katanya.

Menurutnya, pelet dihasilkan Zeotech Industries bukan sahaja sesuai untuk ikan malah boleh dimakan ternakan lain termasuk kambing, lembu dan itik.

Beliau menambah, ikan yang diberi pelet tersebut bukan sahaja sihat dan cepat membesar, malah tidak hanyir selain rendah risiko kematian kerana membantu meningkatkan kadar oksigen dalam air.

Mengulas lanjut, Wan Abu Bakar berkata, pelet yang sudah berada di pasaran seluruh Malaysia sejak empat tahun lalu itu bukan sahaja menjanjikan keuntungan maksimum kepada penternak, malah mampu menjamin perkembangan ekonomi penternak.

Dalam pada itu, bercakap mengenai sasaran, Wan Abu Bakar berkata, syarikat itu menyasarkan pengeluaran 100 tan metrik pengeluaran sebulan bagi tahun ini.

"Zeotech Industries adalah satu-satunya syarikat bumiputera Melayu yang diberi lesen mengeluarkan makanan ikan oleh Jabatan Perikanan dan kini kami menyasarkan untuk menguasai pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, kami sudah menguasai Malaysia dan kini berusaha memasuki negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina,” katanya yang turut berharap mendapat kepercayaan dan peluang lebih besar daripada penternak dan pengusaha Melayu di negara ini.

No comments:

Post a Comment