BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, March 30, 2013

RESTORAN TEMERLOH CATERING SS15 SHAH ALAM


SELAIN masakan berasaskan tempoyak, Restoran Temerloh Catering juga menawarkan aneka pilihan lauk pauk yang lain.

NEGERI Pahang amat sinonim dengan hidangan ikan air tawar terutamanya ikan patin.
Justeru, tidak hairanlah jika orang ramai sanggup memandu jauh dari ibu kota ke negeri Pahang semata-mata mahu menikmati keenakan masakan ikan patin.
Bagi penggemar ikan patin di sekitar ibu kota, mereka kini tidak perlu lagi menjelajah jauh ke Pahang untuk mendapatkan hidangan tersebut.
Ini kerana hidangan ikan patin boleh dinikmati di Restoran Temerloh Catering yang beroperasi di 2-G, Jalan Pahat J/15J, Kompleks Dataran Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Restoran yang beroperasi sejak 2011 itu menyajikan aneka juadah berasaskan ikan sungai termasuk masakan tradisional yang berasal dari Pahang. Sudah semestinya juadah paling istimewa adalah patin buah masak tempoyak.
Mungkin tidak semua peniaga makanan mampu menyediakan masakan tempoyak yang dapat menepati selera orang ramai, terutama 'penggemar tegar' ikan tersebut.
Daripada puluhan restoran dan gerai yang menjual masakan berkenaan, hanya beberapa peniaga mampu menyediakan masakan tempoyak daripada ikan sungai termasuk patin buah yang memenuhi kehendak golongan berkenaan.
Biarpun tidak dilengkapi dengan pendingin udara, namun restoran ini tetap menjadi tumpuan penggemar tegar ikan patin.
Dengan jumlah sajian melebihi 40 jenis, pelanggan mempunyai banyak pilihan untuk memilih masakan mengikut cita rasa mereka.
Tinjauan S2 mendapati, sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam restoran itu, aroma masakan tempoyak daripada ikan patin buah, patin sangkar Sungai Pahang dan ikan kerai membuatkan sesiapa sahaja kecur air liur.
Pengurus Temerloh Catering, Aida Zulyahaniez Abdul Jazam, berkata, perniagaan tersebut diwarisi daripada bapanya sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, restoran yang dibuka seawal pukul 8 pagi hingga 11 malam setiap hari itu bukan sahaja menyediakan masakan berasaskan ikan sungai, malah turut menyajikan hidangan panas.
"Kami juga menyediakan ikan bakar dan masakan panas kepada pelanggan," katanya.
Apabila ditanya mengenai rahsia keenakan ikan patin buah masak tempoyak, Aida Zulyahaniez memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia bagi menyediakan masakan tersebut.
"Mungkin kerana kami hanya menggunakan bahan-bahan terpilih dan bermutu sahaja,"ujarnya ringkas.
Menurutnya, harga ikan patin buah yang dimasak tempoyak adalah RM20 sepotong, patin sangkar RM10 seketul, dan ikan kerai RM18 seketul.
"Selain ikan sangkar, kami juga menyediakan ikan sungai 'original' yang ditangkap di Sungai Pahang. Menu ini dihidangkan mengikut tempahan awal pelanggan. Antara ikan yang menjadi pilihan adalah kelah, patin liar, kerai dan baung," katanya.
Menyentuh mengenai harga, katanya, bagi penggemar ikan patin yang tegar, harga tidak menjadi persoalan.
"Yang penting rasanya yang sedap membuatkan mereka tidak begitu berkira tentang harga," katanya sambil memberitahu Restoran Temerloh Catering boleh memuatkan 100 pelanggan dalam satu-satu masa.
Dalam pada itu, katanya, restoran itu sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
"Sebelum ini, kami pernah menyediakan tempahan dari pejabat Perdana Menteri, Parlimen dan syarikat swasta," tambahnya.

No comments:

Post a Comment