Walaupun tanpa dekorasi yang menarik seperti kebanyakan gerai seumpama itu, namun gerai dikenali sebagai Bangpon, mengambil nama sempena pemiliknya, Saifol Harizan Abd. Hamid, 46, tetap menawarkan keunikan tersendiri.
Para pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum yang datang termasuk dari luar Perlis yang mengetahuinya menerusi rakan dan laman sosial seperti Facebook.
Maklum balas pelanggan yang diterima, rata-ratanya memuji konsep santai seperti itu.
Menurut isterinya, Hatini Othman, 42, tarikan gerainya adalah terletak pada makanan yang ditawarkan iaitu lebih 40 kombinasi burger ayam, daging, ikan dan kambing yang diambilnya daripada pembekal, selain ada sebahagian daripada menu dibuatnya sendiri.
Dia yang berasal dari Bintulu, Sarawak, berkata, paling mencuri tumpuan adalah burger bersaiz gergasi dipanggil ‘burgedik’ berukuran 16 inci (41 sentimeter), hasil buatannya sendiri bagi memberi kelainan cita rasa kepada para pelanggan mereka.
“Kami menghasilkan burger ini menggunakan resipi sendiri, daripada daging sehinggalah kepada roti. Burger ini boleh dinikmati antara enam hingga 10 orang serta berharga RM60 hingga RM100.
“Burger ini dicadangkan untuk dipesan jika datang secara berkumpulan. Ia sesuai untuk majlis sambutan hari lahir mahupun pertunangan menggantikan kek, jika inginkan kelainan,” katanya kepada S2.
Hatini yang merupakan lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, terdapat juga menu lain yang popular seperti Chi­c­ken Chikaro iaitu kepingan daging dan roti dengan serunding (floss).
Katanya, menu lain yang juga popular adalah 'burgegaq' yang turut sering dipesan pelanggan.
Burger itu mengandungi lapisan kepingan daging ayam goreng, telur, hash brown dan sosej yang dilimpahi sos dan mayonis enak.
Tambah Hatini, bagi memenuhi permintaan pelbagai lapisan umur pelanggan yang datang bersama keluarga, dia turut menyediakan hidangan nasi goreng ala barat.
“Dengan cara ini, pelanggan tiada menghadapi masalah kerana dalam sesebuah keluarga itu, ada yang ingin makan makanan barat dan sebahagian lagi inginkan nasi,” katanya yang tidak pernah belajar dari mana-mana institusi tertentu melainkan pengalaman, rakan-rakan dan laman sosial.
Bagi menyesuaikan konsep makanan barat, dia turut menyediakan minuman istimewa ala koktel dipanggil ‘Doraemon Lemon’ yang rasanya masam-masam manis, selain ‘Strawbery Float’.
Hatini memberitahu, pengalaman lebih 20 tahun suaminya serta minatnya dan empat anak-anaknya terhadap makanan barat mendorong mereka sekeluarga mengusahakan gerai burger tersebut.
“Suami pernah membuka gerai burger di Kangar iaitu ketika penduduk di Perlis belum tahu lagi makanan itu. Daripada situ, kami bertatih dan membuka gerai Bangpon yang kini sudah berusia tiga tahun,” katanya.
Tambah Hatini, dia dan keluarga merancang untuk membesarkan lagi perniagaan itu dengan memohon pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) pada masa hadapan.