PERTAMA kali datang ke restoran ini, tanggapan mudah yang singgah di fikiran adalah “mungkin harga makanannya agak mahal.”
Bukan apa, jika dilihat dari sudut luar restoran yang terletak di Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan itu, hiasan landskapnya seperti sebuah kedai makan eksklusif dengan hidangan ala barat yang mewah.
Namun perasaan itu hilang sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam Restoran 9 Lakes yang indah dihiasi dengan dekorasi seperti yang dapat dilihat di kebanyakan hotel tempatan.
Sungguhpun konsep restoran dalam taman yang diilhamkan sendiri oleh pemiliknya, Nor Haszemi Abu Hasan tampak eksklusif dan bertaraf lima bintang, namun dia menolak tanggapan mudah itu dengan menunjukkan menu yang disertakan dengan harga bagi setiap makanan.
“Walaupun konsep yang diketengahkan agak eksklusif, namun saya pasti harga yang kami tawarkan adalah berpatutan dan berada dalam lingkungan mampu untuk semua peringkat masyarakat.
“Berkonsepkan kedai makan dalam taman, Restoran 9 Lakes bukan sahaja untuk mereka yang gemarkan suasana santai malah sesuai dijadikan tempat bagi mereka yang ingin melangsungkan majlis pertunangan, perkahwinan mahupun sambutan hari lahir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai hidangan yang disediakan di restoran miliknya, bapa kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, Restoran 9 Lakes menyediakan pelbagai jenis masakan barat dan Melayu.
Menggabungkan juadah hidangan dari Timur ke Barat, pelbagai jenis masakan barat seperti Black Papper Lamb Chop, Chicken Chop, Black Papper Beef Stik dan Grilled Salmon menjadi antara pilihan menu utama.
Selain itu, Restoran 9 Lakes turut menyediakan spageti antaranya carbonara dan spageti bebola daging yang telah disesuaikan dengan cita rasa Asia.
Tidak menolak masakan Melayu sebagai menu pilihan utama, Nor Haszemi turut memperkenalkan juadah istimewa iaitu kari kepala ikan dan asam pedas yang disajikan dalam mangkuk tanah liat (claypot).
“Kami turut menyediakan pelbagai jenis asam pedas claypot menggunakan empat jenis ikan iaitu ikan pari, ikan tenggiri, ikan jenahak dan ikan kembong.
“Di samping itu, kami menyediakan kari kepala ikan yang dihidangkan di dalam claypot khusus buat mereka yang datang dalam jumlah yang ramai,” ujarnya.
Ditanya mengenai pakej yang ditawarkan sekiranya ingin membuat tempahan bagi menganjurkan majlis, Nor Haszemi memberitahu, restoran tersebut mampu memuatkan 1,000 orang dalam satu masa.
Dengan keluasan hampir 0.8 hektar, kawasan persekitaran restoran itu mampu memuatkan hampir 18 khemah bersaiz sederhana serta menempatkan hampir 20 gerai makanan di sekelilingnya.
Harga bermula dari RM13 setiap seorang mengikut tempahan menu, harga tersebut merangkumi sewaan tempat serta peralatan.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Restoran 9 Lakes, boleh layari laman sosial Facebook di 9Lakes Garden Restaurant, 9lakes (instagram), @9LakesR (twitter) atau berkunjung sendiri ke Nine Lakes Restaurant, No. 4198, Desa Jaya 1, Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment