Ternyata khabar angin yang sampai di telinga penulis benar belaka. Churros yang diliputi gula kulit kayu manis yang rangup di luar dan begitu lembut di dalam itu boleh dikatakan antara yang terbaik di sini.
Dihidang pula terus dari dapur membuatkan panasnya masih terasa, hidangan Churros di Meteora Cafe pasti menjadi ingatan kepada sesiapa yang pernah menikmatinya.
Cerita pemilik Meteora Cafe, Alief Nurudin, resipi Churros tersebut merupakan olahannya sendiri dan beberapa percubaan dilakukan sebelum mendapatkan formula yang tepat dengan cita rasanya.
“Pernah waktu melanjutkan pelajaran dalam bidang pastri di Perth, Australia, saya menyertai satu acara "pasar malam" dengan menjual Churros dan mendapat sambutan dan pujian ramai membuatkan sajian ini antara menu terawal dalam fikiran saya sewaktu membuat keputusan membuka kafe di sini.
“Walaupun secara tradisinya ia dimakan ketika sarapan pagi, namun amat sesuai bagi mereka yang mahukan hidangan ringan sambil menikmati minum petang bersama rakan atau keluarga,” ujarnya yang mengusahakan kafe tersebut sejak hujung tahun 2013 bersama ibu dan adik perempuannya.
Di Meteora Cafe, pelbagai jenis hidangan terutama hidangan Barat disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang dari pelbagai latar belakang – sup, salad, manisan, pasta hingga ke panggang.
Bagi penggemar pasta, apa kata mencuba Salmon Affumicato, hidangan spageti dengan hirisan ikan salmon salai di dalam sos lemon dan cili berkrim. Gabungan rasa masin dari salmon salai dengan pedas serbuk cili itu menyeimbangkan rasa masam dan lemak berkrim sosnya – menambah keunikan hidangan kegemaran peribadi Alief itu.
Spageti Bolognese Manzo ciptaan Alief juga bukanlah seperti hidangan bolognese yang biasa. Daging cincang dan sos yang dimasak terlebih dahulu itu kemudiannya dipanas dengan api yang perlahan selama tujuh jam supaya daging cincang tersebut benar-benar lembut dan cair ketika masuk ke dalam mulut.
Bagi mereka yang mahukan hidangan yang lebih menyihatkan, apa kata mencuba salad ayam gril. Setelah kepingan ayam disalai, ia disadur dengan madu dihidangkan bersama salad mesclun, menggunakan kuah salad madu mustard bersama tomato ceri.
Untuk mereka yang berselera besar, burger The Cluckster wajib dicuba. Dada ayam yang diperap hanya dengan garam dan air selama 24 jam, menjadi lembut dan berjus walaupun selepas digoreng.
Dicampur pula dengan mayonis istimewa dari dapur Meteora Cafe, serbuk cajun, paprika dan timun gerkin, The Cluckster merupakan kegemaran penulis kerana keunikan dan kepelbagaian rasa dalam satu hidangan.
Pencinta daging jangan lupa mencuba hidangan Mimi Had A Little Lamb yang begitu mengenyangkan. Kutlet bebiri yang diperam dengan garam dan lada itu kemudian digril lalu diletakkan sedikit mentega bagi melembabkan kepingan daging tersebut. Dihidang pula dengan kentang lecek yang menggunakan resipi rahsia turun-temurun keluarga Alif, ia amat berbaloi dengan harganya.
Cerita Alief, selain memberikan yang terbaik dari segi hidangan hasil resipi dirinya dan ibunya sendiri, beliau mahu setiap pelanggan yang datang ke Meteora Cafe berasa gembira dan pulang dengan perasaan yang positif hasil daripada hidangan, layanan hingga ke dekorasinya.