SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai
empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan
kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara
kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik
untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia
sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan
isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang
kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat
menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian.
Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta
pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu
menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah
pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga
ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan
tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya.
Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya
namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari
mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua
kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat
orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa
menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian
mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai,
kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati,
mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam.
"Tentu saja tidak!" Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu
sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan
ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri
ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan
berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?" Isteri
ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi
jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya
itu.
Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku
selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu
membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau
ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan
akuâ?¦aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang
kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."
Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang
kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal
denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku
akan setia bersamamu."
Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati
isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus.
Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu
berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu,
tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam
hidup ini ;
ISTERI KEEMPAT - adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu
dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah,
semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada
keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI KETIGA - adalah status sosial dan kekayaan kita.
Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan
berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA - adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa
pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita
selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA - adalah jiwa dan amal
kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan
kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang
mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal
yang mampu menolong kita diakhirat kelak.
No comments:
Post a Comment