BANNER KEMANGI
FACILITIES
Friday, January 4, 2013
TIPS DAN TEKNIK MEMOTONG DAGING
DAGING lembu boleh dijadikan pelbagai jenis hidangan yang enak dan ia merupakan satu pertiga sumber makanan yang paling banyak dimakan oleh penduduk seluruh dunia.
Pada minggu ini saya akan berkongsi dengan anda informasi berkenaan daging lembu. Primal cuts merupakan potongan paling asas yang untuk seekor lembu yang telah disembelih. Daripada primal cuts pula potongan-potongan lain boleh didapati contohnya, pelbagai potongan stik yang boleh anda beli di pasar raya.
Daging lembu juga ada yang diproses menjadi produk makanan lain seperti burger dan sosej. Namun setiap negara mempunyai pelbagai potongan daging yang tersendiri dan namanya juga berbeza.
Ada juga jenis potongannya perlu mengikut kesesuaian masakan yang ingin dimasak. Gred atau kualiti memilih daging yang baik dilihat dalam dua kriteria utama iaitu kandungan marbling, iaitu lemak dalam daging yang memberi kelembutan pada daging dan mengikut usia kematangan lembu.
Daging yang disimpan dalam peti ais akan bertambah lembut teksturnya. Proses ini akan menyebabkan enzim proteolitik dalam daging melembutkan protein myofibrillar.
Tetapi ini adalah pada bahagian daging yang kurang bergerak dan usia lembu yang muda. Terdapat cara lain bagaimana anda boleh melembutkan daging dengan menggunakan cara mekanik seperti menggunakan pengetuk daging supaya proteinnya dapat dipecahkan.
Protein daging juga boleh dilembutkan dengan menggunakan cara tradisional seperti merebus daging menggunakan daun betik dan buah betik atau dengan menggunakan nanas muda.
Enzim papain dalam betik muda dan daun betik serta enzim bromelin dalam nanas muda dapat melembutkan daging. Garam dan sodium phosphate juga boleh juga digunakan untuk melembutkan daging dengan meletakkan dalam air rebusan daging.
Sodium phosphate akan memberikan rasa sabun jadi jangan diletakkan terlalu banyak manakala garam akan memberikan rasa tambahan dalam daging rebusan.
Teknik memilih daging juga ada caranya. Sebaiknya belilah daging yang baru daripada lembu yang baru disembelih. Daging yang baru disembelih warnanya masih lagi merah menyala dan dagingnya pejal dan baunya masih segar. Elakkan membeli daging yang sudah kusam warnanya atau gelap warnanya.
Kesan penggunaan bahan awet telah berjaya mengelirukan pengguna kerana bahan pengawet ini akan mengekalkan warna merah daging untuk simpanan jangka masa yang lama.
Sebagai pengguna anda hendaklah bijak memilih daging di pasaran. Kerana itu lebih baik jika dibeli pada peniaga daging yang mempunyai khidmat memotong terus daripada lembu yang telah disembelih kerana anda boleh melihat sendiri yang mereka ini terus memotong daging daripada seekor lembu. Daging lembu yang anda beli itu memang betul-betul dari lembu yang segar.
Cara memotong daging lembu juga memberi kesan kepada kelembutan daging yang akan anda nikmati. Hiris daging lembu melawan urat lembu. Ini adalah teknik asas apabila anda menghiris lembu. Jika salah menghiris mengikut urat, daging akan liat. Jadi sebaiknya anda harus peka apabila menghiris daging.
Daging lembu sememangnya mempunyai khasiat yang tersendiri. Walaupun semua sumber protein seperti daging merah dan daging berwarna putih adalah sumber protein yang tinggi, khasiat daripada sumber protein daging lembu ternyata berlainan dari segi kandungan lemak, komposisi asid lemak, dan mikronutriennya.
Protein daging lembu lebih mudah dihadam berbanding protein daripada kekacang dan penting untuk pertumbuhan, mengekalkan kecantikan kulit, kekuatan tulang dan pembinaan otot.
Daging lembu juga membekalkan sumber zat besi yang baik untuk peredaran oksigen dalam badan dan memberi tenaga yang mencukupi untuk kecerdasan otak dan daya tahan penyakit.
Zink dalam daging lembu dikatakan 21-26 peratus lebih efektif diserap dalam badan berbanding hanya 11-14 peratus serapan zink yang kita dapat daripada sumber tumbuhan.
Vitamin B12 dalam daging lembu dapat mengawal sistem saraf badan. Daging lembu merupakan penyumbang utama Asid lemak omega 3 iaitu lemak tidak tepu poli yang baik untuk perkembangan otak, kesihatan jantung dan mata.
Labels:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment