BAGI penggemar makanan yang sering mencari tempat baharu untuk menjamu selera, Medan Selera Lokas Makana yang terletak di Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor menyajikan kelainan yang pasti membuat ramai tertarik.
Tidak hanya menyajikan pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada variasi menu tempatan mahupun antarabangsa, Lokas Makana turut menawarkan persekitaran yang mesra pengunjung dengan mewujudkan taman permainan tiub angin (inflatable games) dan litar motosikal mini.
Dimiliki bersama oleh Aida Azura Azmi, 32, dan Fauzi Mansur 31, idea untuk mengetengahkan konsep medan selera terbuka itu tercetus apabila kurangnya medan selera yang menawarkan konsep seperti itu di kawasan Lembah Klang.
Menurut Aida, setiap gerai di Lokas Makana menawarkan pelbagai jenis menu makanan dan minuman yang berbeza sesuai dengan selera dan cita rasa pengunjung tempatan.
“Banyak pilihan makanan dan minuman yang ditawarkan oleh 13 gerai makanan di Lokas Makana. Setiap pengunjung yang datang ke sini terutamanya yang membawa ahli keluarga tidak terkongkong dengan menu makanan yang terhad.
Kawasan riadah
“Paling istimewa, sebuah litar motosikal mini dan taman permainan tiub angin disediakan untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang datang menjamu selera bersama keluarga mereka di sini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keunikan nama medan selera yang mula dibuka pada 7 Januari 2012 itu, Fauzi memberitahu, Lokas Makana berasal daripada perkataan ‘lokasi makanan’ yang telah dipendekkan.
“Kami memilih untuk menamakan medan selera ini sebagai Lokas Makana kerana percaya ia mudah menarik perhatian umum dan senang diingat oleh pengunjung.
“Lebih-lebih lagi, nama tersebut seperti mencerminkan suasana ceria medan selera kami yang sering mendapat kunjungan ramai pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.
Antara makanan yang mendapat perhatian pengunjung di Lokas Makana termasuklah burger bakar kaw kaw, nasi kukus sedap songoti, French toast asli yang dihidangkan dengan aiskrim vanila dan snek popular dari Jepun, takoyaki.
Fauzi menambah, selain mengutamakan kepelbagaian jenis menu, keselesaan pelanggan juga turut diambil kira bagi memberikan kepuasan sepenuhnya ketika menjamu selera di Lokas Makana.
“Kami menyediakan tempat meletak kenderaan yang luas serta khemah yang besar bagi pengunjung yang ingin makan di kawasan berbumbung. Terdapat juga tandas untuk orang kelainan upaya dan kemudahan surau bagi pengunjung untuk menunaikan solat,” katanya lagi.
Sementara itu, pelanggan setia Lokas Makana, Shamil Hizamie, 25, ketika ditemui berkata, dia kerap menjamu selera di sana kerana kepelbagaian menu yang ditawarkan oleh medan selera itu serta suasana tempat makan yang ceria dan terbuka.
“Harga yang dikenakan oleh setiap gerai juga sangat berpatutan dan kualiti hidangan yang disediakan sangat memuaskan,” kongsinya.
No comments:
Post a Comment