BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, January 18, 2013

NASI LEMAK CILI BILIS, GURNEY DRIVE, PENANG


NASI lemak sambal tumis cili bilis ini mendapat sentuhan resipi keluarga Hashim.
RASA nasi yang kurang lemak tetapi enak dan aroma sambal tumisnya sudah cukup untuk menambat selera sesiapa sahaja yang pertama kali mencuba nasi lemak air tangan Hashim Ismail, 50.
Gerainya, Nasi Lemak Cili Bilis di Medan Selera Persiaran Gurney, Pulau Pinang bukan calang-calang kerana hidangan itu dinobatkan sebagai Juara Nasi Lemak pada Pertandingan Penang Hawker Masters 2012 pada November lalu.
Pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu menghimpunkan para penjaja yang diiktiraf makanannya sedap oleh orang ramai sahaja dan diadili para juri profesional sebelum peserta terbaik berentap di pentas akhir.
Bagi kategori nasi lemak, sebanyak 11 penjaja bersaing tetapi hanya tiga yang dipilih untuk merebut gelaran.
Walapun baru tiga tahun berniaga, keenakan nasi lemak Hashim berjaya menewaskan dua pencabarnya untuk membawa pulang wang tunai RM2,000 seterusnya tersenarai dalam buku pelancongan negeri sebagai nasi lemak yang wajib dirasai.
Beliau yang pertama kali menyertai pertandingan seumpamanya sama sekali tidak menyangka muncul sebagai pemenang.
Menurut Hashim, rahsia keenakan nasi lemaknya ialah kerana menggunakan santan kelapa sawit dan bukannya santan kelapa. Memasak cara itu menjadikan nasinya sedap dan tidak mudah basi selain kandungan kolesterolnya rendah.

KEENAKAN nasi lemak Hashim Ismail tersenarai dalam buku pelancongan Pulau Pinang sebagai hidangan yang wajib dinikmati.


Sambalnya pula disediakan secara tradisional iaitu menggunakan cili yang digiling dengan lesung. Hasilnya sambal yang dimasak lebih sedap dan tahan lama.
"Sambalnya pula dimasak dengan bahan-bahan campur resipi keluarga. Ia menjadikan sambal tumis cili bilis ini lain daripada yang lain.
"Ayam pula digoreng bersalut tepung menjadikannya garing dan sedap dikunyah.
"Sebelum berniaga, saya beberapa kali membuat kajian dan penyelidikan bagi mendapatkan ramuan bagi menghasilkan nasi lemak yang bukan sahaja menepati cita rasa, malah menggunakan bahan-bahan yang lebih sihat," ujarnya.
Setiap hari, Hashim dibantu isterinya, Suriyati Sutan, anak jati Tanjung Tokong yang adakalanya tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin mencuba nasi lemak mereka selepas pertandingan tersebut.
Ujarnya, selepas menyertai pertandingan itu, jualan nasi lemaknya meningkat sekali ganda, termasuklah daripada pelanggan bukan Melayu selain pelancong asing yang mahu mencuba menu tradisi tersebut.
Pelanggan boleh memilih tiga set hidangan berbeza iaitu nasi lemak sambal yang hanya berharga RM2.50, nasi lemak telur goreng berharga RM3 atau nasi lemak ayam goreng, RM5.
Gerai Nasi Lemak Cili Bilis dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 12 malam dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.cilibilis.com.my.

No comments:

Post a Comment