BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, January 13, 2013

SELERA KAMPUNG DI IBU KOTA


Fazila Hasim bersama ibunya, Zainab Yaacob, 58, dengan hidangan masak asam pedas, pucuk ubi masak lemak, kerabu mangga dan ikan patin masak tempoyak yang menjadi kebanggaan restorannya.

HIDANGAN kampung merupakan cita rasa selera yang dicari-cari terutama oleh mereka yang tinggal di bandar-bandar mahupun kota besar.
Ini kerana hidangan kampung selain mampu menaikkan selera, hidangan ini juga mampu membuatkan anda 'tersandar' kekenyangan selepas menikmatinya.
Menu-menu seperti patin masak tempoyak, asam pedas ikan terubok, masak lemak pucuk ubi, ayam kampung goreng serta kerabu mangga bukan sahaja membuatkan anda menambah nasi dua tiga kali tetapi hidangan tersebut mampu membuatkan anda menjilat jari.
Begitupun, hidangan tersebut hari ini sukar didapati kerana kebanyakan bahan-bahannya sukar diperoleh.
Bagaimanapun bagi mereka yang tercari-cari ataupun ingin menikmati selera kampung bolehlah mengunjungi Restoran Luncai 23 yang terletak di No. 9, Jalan Kesumbarsari 2, Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang, Selangor.
Di sini, pelbagai jenis masakan kampung boleh diperoleh dan dinikmati malah air tangan tukang masaknya sememangnya ada ummph!
Yang pasti, selama mana kita duduk di restoran tersebut, pelanggan tidak putus-putus keluar masuk membeli masakan yang disediakan di situ.
Tidak sampai satu jam, kebanyakan hidangan yang disediakan sudah habis dibeli pelanggan malah tidak kurang juga ada yang terkejar-kejar mengunjungi restoran tersebut ditakuti lauk yang disediakan kehabisan.
Menurut pengusaha restoran tersebut, Fazila Hasim, 33, restorannya menyediakan masakan kampung untuk hidangan makan tengah hari.
Tidak pernah mengehadkan menu-menu yang disajikan setiap hari, ujar Fazila, kesemua menu yang disediakan bergantung kepada bahan-bahan yang diperoleh pada hari itu. Jika tidak mendapatnya, lauk lain akan digantikan.
"Alhamdulillah, sejak dibuka empat tahun lalu kesemua menu yang disajikan akan habis sekitar pukul 12 tengah hari atau 1 petang.
"Semua masakan kampung yang dimasak setakat ini nampaknya memenuhi cita rasa penduduk sekitar terutama asam pedas dan juga patin masak tempoyak.
"Setakat ini kedua-dua menu tersebut akan dimasak setiap hari dan Alhamdulillah bekalan ikan untuk kedua-dua jenis masakan ini tidak pernah putus," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Begitupun, ulas Fazila, bagi asam pedas walaupun dimasak setiap hari tetapi ikannya akan ditukar dan ini bertujuan untuk mengelak para pelanggannya jemu dengan ikan yang sama setiap hari.
Selain itu, restoran tersebut yang dibuka awal pagi turut menyediakan sarapan dan juga makan malam.
Untuk sarapan pagi, menu seperti roti canai, nasi lemak, lontong serta masakan bergoreng turut disediakan manakala untuk malam pula menu ala carte disediakan termasuklah sate.
Bagi nasi lemak, ulas Fazila, lauk yang paling laris dan popular ialah sambal sotong dan juga sambal paru.
Berbicara lanjut mengenai perniagaannya itu, jelas Fazila, ia merupakan perniagaan keluarga di mana dia bersama tiga adik beradiknya yang lain termasuk ibunya mengusahakan restoran tersebut.
"Sebenarnya perniagaan ini dah lama diusahakan tetapi di sini (Bandar Baru Sungai Buaya) kami mula berniaga sejak tahun 1998.
"Kami memang menyediakan masakan kampung dari dahulu lagi tetapi untuk sate kami telah menjualnya sejak 20 tahun lalu," ulasnya lanjut.
Turut menerima tempahan katering, Fazila memberitahu, selain lauk-pauk pihaknya juga mengambil tempahan sate.
Kepada sesiapa yang ingin mencuba hidangan di sini bolehlah mengunjungi restoran tersebut manakala bagi mereka yang ingin menempah katering boleh hubungi Shahrul di talian 012-3094601.

No comments:

Post a Comment