BANNER KEMANGI
FACILITIES
Friday, January 4, 2013
GALERI DAENG HADAKEK
PONTIAN 3 Jan. - Bagi terus mengekalkan adat dan tradisi Bugis di daerah ini, Galeri Daeng Hadakek dibuka di Kampung Sungai Kuali, Serkat dekat sini, dalam sebuah binaan kayu yang bercirikan seni bina masyarakat itu yang disiapkan pertengahan bulan lalu.
Pemilik galeri, Enduk Chichuk Daeng Hadadek berkata, galeri itu menempatkan pelbagai barangan serta peralatan yang digunakan masyarakat Bugis seperti majlis perkahwinan dan upacara lain selain koleksi dan gambar-gambar bapanya, Allahyarham Daeng Hadadek yang meninggal dunia pada 1981.
"Galeri tersebut mengambil sempena nama arwah ayah yang merupakan seorang Jaksa Pendamai (JP) yang dilantik Sultan Johor. Rumah tersebut juga merupakan salah sebuah kediaman yang menyertai program inap desa di kawasan Tanjung Piai yang sering menjadi tumpuan ramai.
"Kami sekeluarga berharap dapat menyumbang sesuatu kepada program inap desa itu dengan menawarkan produk tambahan iaitu Galeri Bugis selain tarikan Tanah di Penghujung Benua Asia," katanya selepas majlis perasmian galeri itu yang disempurnakan Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Md. Isa Sabu, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, isteri Md. Isa, Datin Asiah Asmuni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Md. Othman Yusof dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Nasir Safar.
Enduk bersama arwah suaminya, Ambok Entang, mengusahakan galeri tersebut dengan hasrat berkongsi segala pengetahuan mengenai adat dan budaya masyarakat Bugis.
Menurutnya, permulaan operasi galeri yang dibina sejak tiga tahun lalu itu sekali gus menunaikan hajat Ambok supaya generasi muda dapat terus memelihara dan mempertahankan warisan turun-temurun masyarakat Bugis.
Katanya, galeri itu menjadi tumpuan ramai yang melalui kawasan tersebut sejak dalam proses pembinaan lagi dan ramai yang tidak sabar melihat sendiri keindahan serta keunikan seni bina yang jarang terdapat di tempat lain.
Labels:
LOKALITI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment